Saturday, December 3, 2011

Zizie Ezette Rindukan Dunia Lakonan



Hampir dua tahun tidak bergiat aktif dalam dunia lakonan, pelakon Zizie Ezette mengakui rindu untuk kembali ke dunia yang dicintainya itu.

Ditemui ketika majlis rumah terbukanya di Ukay Perdana pada Sabtu, Zizie memberitahu dia sedang menunggu waktu yang sesuai untuk kembali ke persada seni lakonan kerana masih menyesuaikan diri sebagai seorang isteri.

"Saya rindukan dunia lakonan kerana itu adalah minat saya sejak dari dulu lagi cuma kini ada perkara yang lebih penting untuk dilakukan terlebih dahulu iaitu tanggungjawab kepada rumah tangga.

"Tetapi adakalanya saya akan berlakon di hadapan cermin jika rindu untuk berlakon," ujarnya.

Bergelar isteri kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, Zizie turut menegaskan dia tidak akan bersara daripada dunia lakonan dan suaminya tidak pernah menghalangnya untuk kembali aktif berlakon.

Namun katanya, jika kembali berlakon kelak dia akan lebih selektif terhadap watak dan peranan yang diberikan oleh pihak produksi kepadanya bersesuaian dengan status yang dipegangnya kini.

"Saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan kepada pihak media untuk bersara dari dunia lakonan. Suami saya juga tidak pernah menghalang jika saya ingin bergiat aktif kembali tetapi keputusan untuk menumpukan kepada rumah tangga buat ketika ini dibuat oleh saya sendiri," katanya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai anak, Zizie berkata dia sudah bersedia untuk menimang cahaya mata tetapi rezeki belum menyebelahi dirinya dan suami.

"Sudah tentu setiap pasangan yang berkahwin mahukan anak dan tidak terkecuali saya. Saya dan suami masih berusaha tetapi dalam soal ini kita hanya mampu merancang, Tuhan juga menentukannya," katanya.

Sementara itu, Zizie yang mempunyai syarikat sendiri yang diberi nama 2121 Vision Pictures memberitahu dia sedang merancang untuk menerbitkan drama dan telefilem sulung dibawah syarikatnya itu.

"Skrip sudah ada tetapi saya tidak mahu terburu-buru untuk menghasilkan drama atau telefilem kerana banyak perkara lain yang perlu diberikan perhatian dalam menjayakan sesuatu projek," ujarnya yang akan mengambil adiknya, pelakon Shaiezy Sam untuk berlakon dalam projek tersebut.



Sumber: Mstar Online

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.