Seramai 1,100 perwakilan akan menentukan samada golongan ulamak masih relevan dalam Pas atau golongan Anwarism akan menakluki keseluruhan parti pas di Kolej Universiti Zulkifli Muhammad di Taman Melewar, Gombak pada Jumaat ini,.
Dalam kegairahan perwakilan memilih pemimpin pilihan mereka beberapa fakta perlu diteliti seperti berikut:
- Kemunculan Pas dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulama yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulama Se-Malaya. Ia kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaysia (Pas) pada 24 November 1951. Ini fakta yang tidak boleh dipadamkan
- Dalam keghairahan itu, kelompok kepimpinan ulama menjadi sasaran untuk dijatuhkan dan ia semakin ‘mengerikan’ apabila percaturan turut melibatkan langkah memperluaskan ‘jajahan pengaruh politik’ pemimpin di luar Pas. Ini jelas apabila wujudnya apa yang dipanggil ‘Anwarinas’ - iaitu satu kumpulan di dalam Pas yang pro kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Kelompok ‘Anwarism’ ini seperti mana didedahkan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin akan menterjemahkan apa yang telah mereka rancang sejak 2008 pada pemilihan kepimpinan Pas dalam muktamar kali ini bagi menukar saf kepimpinan parti itu yang sekian lama dikuasai oleh para ulama.
- Kesudahannya, Pas dilihat hanya menjadi kuda tunggangan kepada kedua-dua parti DAP dan PKR dan sekali gus mencemarkan kepimpinan ulama dalam Pas.
Sikap tidak konsisten Pas adalah berpunca daripada mainan kumpulan pro Anwar di dalam parti itu yang bukannya menyebarkan semangat ukhuwah Islamiah sebaliknya meletakkan keuntungan politik mengatasi segala-galanya.
Sebab itulah, dalam pemilihan kali ini mereka menyusun strategi dan gerak gempur yang lebih rapi dan tersusun. Mereka mahu memastikan ulama-ulama atau mana-mana pemimpin yang tidak menyebelahi mereka ditamatkan riwayat politiknya dalam pemilihan berkenaan.
Apa yang lebih penting bagi kelompok ini, dengan kedudukan Pas yang dilihat agak ampuh dalam arena politik negara maka pemilihan kali ini dilihat detik terbaik untuk mereka melaksanakan ‘agenda penjajahan politik’ dengan menjadikan Anwar sebagai idola.
Semua keadaan ini seharusnya menyedarkan perwakilan-perwakilan Pas bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan undi mereka tidak membuka ruang kepada ‘penjajahan politik’ tersebut. Walaupun hanya satu undi, ia bakal menjadi penentu kepada kesinambungan perjuangan Pas selepas ini.
Mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Pas memerlukan pemimpin yang dapat membantu Presiden dan kepimpinan Pas secara bebas dan bijaksana tanpa perlu mengikut telunjuk proksi atau mana-mana pihak.
‘‘Di sinilah delegasi ke muktamar perlu merenung dan memilih barisan kepimpinan yang dapat mempertahankan Pas sebagai sebuah wacana perjuangan Islam tulen yang tidak gentar mempertahankan prinsip-prinsip Islam dan bukannya menjadi parti submisif dan bersifat apologetik kepada mana-mana pihak yang menentang Islam serta prinsip-prinsipnya,’’ kata beliau.
Justeru perwakilan Pas perlu memastikan pemilihan kali ini sebagai titik tolak untuk menghentikan pengaruh Anwarisme atau kelompok Anwarinas dalam parti itu.
Pas dilahirkan, dibesarkan dan disanjung kerana pengorbanan golongan ulama yang menempuh pelbagai cabaran bagi memartabatkan parti itu. Oleh itu wajarkah apabila parti tersebut sudah mantap, berkembang dan digeruni maka golongan ulama mahu dicampak begitu sahaja hanya kerana terpengaruh dengan percaturan politik Anwar, PKR dan DAP?
Mereka perlu mengkaji dan menilai apakah ia hanya satu rekaan atau realiti memandangkan seperti mana didedahkan bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Prof. Madya Mohd Noor Deris bahawa, ‘‘ombak besar yang dibawa oleh kumpulan yang berkiblatkan Anwar seolah-olah tidak lagi mampu ditampung oleh kumpulan yang setia kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang’.’
‘‘Mereka mungkin lemas di dalam gulungan ombak berkenaan. Jika benar itu berlaku, saya ingin menyarankan kepada pengikut ‘totok’ Pas, bersedialah untuk menjunjung kepimpinan yang berkiblatkan Anwar yang begitu rakus kononnya untuk membawa perubahan di dalam parti dengan pelbagai muslihat dan tipu daya lain,’’ katanya.
Bagi mengelak semua itu berlaku, perwakilan sepatutnya sudah faham dan mengetahui sejak pilihan raya umum lalu siapakah di kalangan pemimpin-pemimpin yang dimaksudkan oleh Mohd. Noor. Tindak-tanduk kelompok berkenaan begitu ketara sekali apabila berhadapan dengan isu melibatkan Anwar dan lebih menjaga hati pemimpin-pemimpin DAP.
Lebih malang lagi ada antara mereka tidak mencerminkan peribadi sebagai seorang pemimpin yang mewakili sebuah parti Islam apabila kata-kata yang dihamburkan penuh dengan maki hamun dan caci nista.
Malahan ada pula antaranya semata-mata demi kepentingan politik sanggup bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin DAP mengugat kedudukan orang Melayu. Permainan politik kebencian yang dipelopori oleh PKR turut ‘merasuk’ sebahagian daripada mereka sehingga sesiapa sahaja yang cuba berbaik-baik dengan pemimpin-pemimpin UMNO biarpun hanya untuk minum secawan kopi pun akan ditentang habis-habisan.
Apa pun orang luar hanya boleh memberi pandangan dan nasihat terserahlah kepada perwakilan Pas untuk membuat keputusan.