You are here:
Home »
politik perak
»
`Datuk' dan `Dr' tipu transaksi kuari dan lombong - Dr Zambry
By Sungai Rapat
on
Wednesday, May 9, 2012
with
0 comments

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abd kadir mendedahkan wujudnya komplot-komplot tertentu yang menjual namanya dan kerajaan negeri untuk menipu orang ramai membabitkan transaksi tanah, kuari, lombong, balak dan sebagainya.
Katanya, kes penipuan ini seringkali dilaporkan kepadanya pada sesi Bertemu Pelanggan yang diadakan setiap selasa dimana terdapat pelanggan yang datang mengadu mereka di datangi individu-individu tertentu berhubung transaksi tanah, lombong, balak dan sebagainya.
Menurut beliau terdapat satu kes dimana seorang mangsa telah diperdaya kerana berurusan dengan individu yang kononnya mempunyai kaitan rapat dengan Menteri Besar berhubung transaksi tanah.
Dr Zambry berkata, mangsa dalam kes ini terpedaya kerana individu terbabit kononnya bercakap melalui telefon dengan Menteri Besar di depannya untuk mendapatkan kelulusan tanah.
“Saya telahpun mengarahkan perkara ini dirujuk kepada pihak jabatan berkenaan untuk menjalankan siasatan,’’ katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di pejabatnya hari ini.
Kepada satu soalan, beliau berkata terdapat beberapa kes penipuan seumpama itu telah dikesan dan sedang dalam penyiasatan polis dan pemantauan pihak jabatan berkenaan.
“Kes-kes penipuan ini tidak boleh dibiarkan berleluasa dan perlu dibendung segera kerana ia boleh mencemar imej kerajaan negeri Perak,’’ katanya.
Ditanya sama ada komplot penipuan ini ada membabitkan orang kenamaan yang bergelar datuk, katanya, beliau tidak tahu.
Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan anggota komplot penipuan ini menggunakan gelaran datuk dan sebagainya untuk menipu mangsa mereka.
Sehubungan dengan itu, Dr Zambry mengulangi nasihatnya kepada orang ramai supaya segera tampil bertemu beliau atau mana-mana pegawai di pejabat Menteri Besar dan Pejabat Tanah untuk membuat pengaduan bagi mendapatkan kepastian sekiranya mereka didatangi individu-individu tertentu berhubung transaksi tanah, balak, lombong dan sebagainya.
“Saya minta rakyat datang bertemu saya melalui Klinik Dr Zambry dan Hari Bertemu Pelanggan setiap Selasa untuk membawa apa-apa masalah mereka kepada saya,’’ katanya.
Category:
politik perak
POST COMMENT
0 comments:
Post a Comment