Monday, March 18, 2013

Anak Perempuan Jamalul Kiram Bantu Pengikutnya Tinggalkan Sabah


Anak perempuan Jamalul Kiram III meminta Pejabat Peguam Negara (PAO) membantu pengikutnya yang dihalang meninggalkan Sabah, semalam.

Ketua PAO Persida Acosta berkata, Carolyn Kiram membuat permohonan itu bagi pihak Jamalul selepas bimbang nasib 31 daripada 523 saudara-mara mereka di Malaysia.

“Saya akan ke Tawi-Tawi bersama pasukan perubatan untuk bertemu dan memeriksa kesihatan mereka,” katanya.

Dalam surat bertarikh 13 Mac dan ditandatangani 31 pelarian terbabit, mereka mendakwa baru tiba di Bongao, Tawi-Tawi dari Sandakan.

Mereka meminta kerajaan membantu saudara-mara masing-masing yang ditinggalkan di Sabah tanpa dokumen perjalanan sah.


Sementara itu Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata anggota keluarga Jamalul Kiram antara 104 orang yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). 

"Mereka yang ditahan berada di sini dipercayai anggota keluarga (Jamalul) Kiram yang menggunakan nama lain...di sini mereka guna nama lain, di Filipina mereka guna nama lain. Ini kita sedang siasat," katanya dalam sidang media bersama Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim di Felda Sahabat 16 di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi membanteras pengganas tidak hanya tertumpu kepada keluarga Jamalul Kiram, yang didakwa dalang insiden pencerobohan di Sabah sejak 12 Februari lepas, kerana polis turut menjejaki kaum keluarga anggota militan lain yang dipercayai terlibat insiden pencerobohan itu.

"Kita juga turut menyiasat orang lain yang mempunyai kaitan dengan pengganas di bawah SOSMA," katanya tanpa memberitahu bila mereka akan didakwa di mahkamah.

Mengenai kematian seorang tahanan di bawah SOSMA di Semporna semalam, beliau berkata individu itu meninggal dunia di hospital akibat sakit dan bukannya membunuh diri seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Sehingga kini seramai 104 orang telah ditahan di bawah SOSMA dan 232 lagi ditahan atas pelbagai kesalahan lain.

Dalam pada itu, Hamza berkata keadaan di seluruh Sabah adalah terkawal termasuk di Semporna dan Lahad Datu, kecuali di kawasan operasi di gugusan Tanjung Labian, yang kini dalam proses pembersihan.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.