Tuesday, March 19, 2013

Jamalul Kiram arah pengganas Sulu tembak dan lari



Pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III  menyatakan para pengikutnya tidak akan berundur dari Sabah dan sekali gus mengarahkan mereka melancarkan perang gerila terhadap pasukan keselamatan Malaysia, lapor akhbar The Philippine Star semalam.

Jamalul Kiram kelmarin berkata, para pengikutnya di Sabah yang diketuai adiknya, Azzimuddie Kiram berada di tanah air mereka (Malaysia).

“Mereka sudah berada di tanah air mereka (Malaysia), justeru kenapakah perlu pulang?” katanya kepada wartawan di kediamannya di bandar Taguig dekat sini.

Sementara itu, jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani pula berkata, perjuangan di Sabah akan diteruskan.

Menurut beliau, gencatan senjata sebelah pihak yang diumumkan oleh Jamalul Kiram baru-baru ini telah ditarik balik dan para pengikutnya telah diarah untuk melaksanakan operasi ‘tembak dan lari’ terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Idjirani turut mendakwa Azzimuddie dan para pengikutnya masih berada di Sabah.


Sementara itu di Lahat Datu pasukan keselamatan yang masih meneruskan misi Ops Daulat di sini menerima tambahan kekuatan dengan kehadiran kereta perisai berantai dalam usaha membantu dan memperkukuhkan penguasaan di gugusan Kampung Tanjung Labian di sini.

Kereta perisai berantai jenis ACV-300S Adnan itu dilihat memasuki kawasan Felda Sahabat pada pukul 4.20 petang selepas mengharungi perjalanan jauh kira-kira 300 kilometer dari Tawau.

Difahamkan sebanyak 17 buah kereta perisai berantai termasuk sebuah untuk tujuan perubatan memasuki kawasan Felda Sahabat dengan diiringi 17 buah trak tentera berkekuatan 200 anggota.

Difahamkan, kesemua kenderaan yang tiba di Tawau pada pukul 9 pagi semalam merupakan kenderaan yang berpengkalan di Pangkalan Tentera Gemas, Negeri Sembilan.

Panglima I Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Zaki Moktar berkata, kereta perisai berantai itu dibawa dari Semenanjung bagi membantu pasukan keselamatan dalam Ops Daulat.

“Kereta perisai berantai juga bertujuan untuk mengawasi gugusan Kampung Tanjung Labian selepas operasi tamat kelak,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.


Kosmo

1 comment:

  1. mana kau nak lagi pengganas sulu bongok ooi..ini sabah bukan filipina..lepas ni kereta kebal lenyek kau sampai lumat..

    ReplyDelete

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.