Friday, March 15, 2013

Kampung Sungai Nyamuk dihujani mortar


Pasukan keselamatan mula membedil lokasi persembunyian pengganas di Kampung Sungai Nyamuk, FELDA Sahabat 22 dekat sini, menggunakan mortar.

Bedilan bertalu-talu itu bertujuan memaksa saki baki pengganas keluar dari tempat persembunyian mereka.

Kampung Sungai Nyamuk kini menjadi sasaran pasukan keselamatan selepas pertempuran dengan kumpulan pengganas di kampung itu, Selasa lalu, mengorbankan Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah Ismail, 24.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata pihaknya menyerang lokasi spesifik yang dipercayai menjadi tempat persembunyian pengganas di kampung itu selepas mereka melarikan diri dari Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu. 


“Kita melancarkan serangan mortar dulu sebelum melakukan operasi mencari dan menggeledah.

“Bagaimanapun, sejak petang semalam  tiada pertempuran dengan pengganas.

“Kita percaya mereka masih bersembunyi di kampung itu,” katanya pada sidang media bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di FELDA Sahabat 16 dekat sini, semalam.

Allahyarham Ahmad Hurairah terkorban ketika bertempur dengan lima pengganas Sulu di kawasan ladang kelapa sawit di kampung itu pada jam 10.30 pagi, Selasa lalu.

Beliau yang ditugaskan sebagai ‘pointer’ iaitu anggota tentera paling depan dalam kumpulannya untuk menjejaki musuh, dipercayai ditembak penembak tepat musuh.

Allahyarham dari Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Kukusan Tawau, Sabah dan berasal dari Pasir Mas, Kelantan gugur di tempat kejadian. Dua pengganas berjaya dibunuh pasukan keselamatan dalam pertempuran itu.

Zulkifeli berkata, pasukan keselamatan kini memperkecil kawasan kepungan di Kampung Sungai Nyamuk dan Kampung Tanjung Batu, selain meneruskan operasi mencari dan menggeledah di Kampung Sungai Bilis dan Kampung Tanjung Labian.

1 comment:

  1. salam, bro tak tahulah namanya dah berubah, tapi rasanya tugas Kpl Hurairah itu masih dinamakan RickySkot1..bukan pointer. Apa maksud pointer?? sedang rickyskot1 itu adalah anggota pengesan dan berada dihadapan sekali bersama senjata PUMP GUN(SHORTGUN) bertujuan melepaskan tembakan yang kuat bunyinya apabila terserempak dengan musuh, bagi membolehkan rakan2 pasukannya yang berada dibelakang mengambil perlindungan apabila tembakannya dilepaskan. Kalau pointer maksudnya titik, titik bagi siapa?? musuh?? sekian harap maklum

    ReplyDelete

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.