Thursday, March 14, 2013

Najib Jumpa Pemimpin BN Hari Ini, Pembubaran Parlimen bakal diumumkan



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan satu pertemuan tertutup dengan semua pemimpin komponen Barisan Nasional di Putrajaya, hari ini.

Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan persiapan terakhir BN sebelum beliau mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membuka jalan kepada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Seorang pemimpin sebuah parti komponen BN mengesahkan pertemuan tersebut bagaimanapun enggan mendedahkan sebarang butiran lanjut.

Difahamkan pertemuan tersebut akan diadakan bermula tengahari dan dijangka berlarutan hingga ke petang.

Perdana Menteri sebelum itu mempunyai satu acara berjadual iaitu lawatan kerja ke Hospital Kuala Lumpur dan merasmikan kompleks pakar dan rawatan harian hospital berkenaan yang bermula pukul 9 pagi.

Najib yang juga Pengerusi BN dilaporkan mengadap Yang DiPertuan Agong di Istana Negara semalam. Tiada sebarang maklumat didedahkan oleh Pejabat Perdana Menteri mengenai pertemuan itu namun ia dipercayai pertemuan mingguan yang biasa.

Bagaimanapun laporan ringkas mengenai pertemuan itu cukup untuk menimbulkan keriuhan di Twitter dan mencetuskan spekulasi Parlimen akan dibubarkan pada waktu terdekat.

Kali terakhir Najib mengadakan pertemuan dengan pemimpin komponen BN ialah dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi parti itu pada 8 Februari lepas.

Pemerhati politik melihat pertemuan tertutup hari ini sebagai antara petanda kuat bahawa Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat.

Pejabat Perdana Menteri juga difahamkan sudah mula membuat persiapan untuk majlis pengumuman pembubaran Parlimen.

Beberapa laporan media sebelum ini meramalkan Najib akan membubarkan Parlimen sebelum pertengahan Mac dan pilihan raya diadakan dalam minggu kedua April.

Parlimen mempunyai mandat sehingga 28 April sebelum ia terbubar secara automatik mengikut undang-undang, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari daripada pembubaran.

Bagaimanapun, Dewan Undangan Negeri Johor dan Negeri Sembilan akan terbubar dalam masa dua minggu ini iaitu masing-masing pada 21 dan 26 Mac.

Pembubaran awal DUN itu bagaimanapun tidak memungkinkan tarikh pilihan raya berasingan dengan Parlimen kerana penentuan tarikh pilihan raya ialah pada budi bicara SPR.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini juga dilaporkan berkata, biar bubar berlainan tarikh sekalipun SPR masih boleh mengadakan pilihan raya Parlimen dan DUN serentak selagi ia jatuh dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan selepas pembubaran.

Dalam pada itu, Najib mempunyai beberapa siri acara pada hujung minggu ini dan minggu depan yang akan diberikan perhatian dekat oleh pemerhati politik.

Beliau akan melawat Kelantan esok (Jumaat) dan singgah di beberapa daerah iaitu Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Kota Bharu, serta melancarkan antaranya projek perumahan rakyat.

Pada 17 Mac, Najib dijadual menghadiri program anjuran Kementerian Wanita Keluarga dan Masyarakat manakala dua hari kemudian, melancarkan laporan tahunan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) -- dua projek utama pentadbirannya sejak beliau jadi Perdana Menteri pada April 2009.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.