Saturday, March 16, 2013

OP DAULAT: SIDANG MEDIA SEMASA - 16 MAC 2013


Berhubung operasi pembersihan, Pesuruhjaya Polis Sabah berkata bermula semalam pasukan keselamatan bertumpu di Kampung Tanjung Batu setelah operasi penggeledahan dan pembersihan di kawasan Sungai Nyamuk dan Kampung Tanduo selesai. Beliau berkata bagaimanapun anggota keselamatan tetap akan diletakkan di ketiga-tiga kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga.

"Jika kawasan Tanjung Batu dapat kita bersihkan hari ini, insya-Allah kita akan boleh katakan Kampung Tanduo, Kampung Sungai Nyamuk dan Kampung Tanjung Batu adalah bersih," katanya.

Beliau turut menjelaskan hanya 15 pengganas ditembak mati pihak keselamatan dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac lepas, bukan 27 seperti yang dilapor akhbar hari ini.

"Pada 1 Mac, seramai 12 musuh mati ditembak dan setelah selesai proses pembersihan kita menemui tiga lagi mayat semalam dan ia membawa kepada 15 musuh yang disahkan terbunuh pada hari pertama itu," katanya.


Sementara itu pihak keselamatan negara akan mengumpulkan bukti yang cukup sebelum mencari kaedah mengekstradisi ketua pengganas dari Sulu Azzimudie Kiram atau Agbimuddin dari Filipina dan dibicarakan di negara ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata seperti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam, Azzimudie yang mengetuai pencerobohan bersenjata di Lahad Datu dipercayai sudah berada di Filipina.

"Pada hemat saya, kalau dia berada di sana pun kita tidak menghadapi masalah sebab kita sudah menjalankan siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ke atas mereka yang ditahan.

"Jadi, kita akan kumpulkan bukti, seterusnya menggunakan saluran perundangan untuk kita ekstradisi Azzimudie bagi menghadapi pertuduhan di negara kita," katanya pada sidang akhbar di Felda Sahabat, dekat sini hari ini.

1 comment:

  1. yang terbaru kata mungkin masih berada di sabah tetap dipercayai berada di filipina
    ke tak pernah datang ke ada kembar lol
    sabar dan tunggu je la

    ReplyDelete

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.