Thursday, March 21, 2013

Pengganas Kiram Mula didakwa


Remaja 17 tahun, warga tua antara dituduh melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong

Lapan lelaki warga Filipina dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan melakukan keganasan.

Mereka yang berusia 17 hingga 66 tahun, dituduh mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu berperang atau mencuba berperang atau bersubahat berperang melawan Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Boleh dihukum mati

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda.

Mereka juga dituduh mengikut Seksyen 130K (a) Kanun Keseksaan, iaitu melakukan atau sedang merancang atau berkemungkinan akan melakukan perbuatan pengganas. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara seumur hidup dan denda atau penjara maksimum 20 tahun atau denda.

Pendakwaan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu yang diisytiharkan sebagai mahkamah terbuka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Tawau, Amelati Parnell bertindak sebagai Majistret.

Dikawal ketat
Pendakwaan dilakukan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Nordin Hassan dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar.

IPD Lahad Datu, khususnya bangunan yang menempatkan lokap tahanan yang dihuni lapan tertuduh itu dikawal ketat oleh polis lengkap bersenjata dan memakai baju kalis peluru sejak awal pagi.

Kira-kira pukul 9.30 pagi, empat lori polis memasuki pekarangan IPD tanpa membawa tahanan dan ketika itu, pengamal media yang turut berlegar di luar bangunan diarah ke bangunan pentadbiran yang bertentangan.

Tiada pengakuan

Semua tertuduh tidak diwakili peguam dan tiada pengakuan direkodkan. Bagaimanapun, prosiding tidak dihadiri wakil Kedutaan Filipina.

Setiap suspek dituduh secara berasingan dengan pertuduhan dibaca dalam bahasa Suluk dan Bajau. Prosiding bermula jam 12.30 tengah hari dan berakhir 45 minit kemudian, manakala Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, dilihat berada di balai polis sepanjang prosiding.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pendakwa untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Tawau bagi perbicaraan ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

Kira-kira jam 1.30 petang, kelapan-lapan tertuduh yang memakai baju dan seluar lokap berwarna ungu, berkaki ayam dan kepala ditutup kain hitam, dilihat dibawa keluar dari IPD Lahad Datu dengan kawalan ketat pasukan keselamatan.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.