Thursday, March 14, 2013

Setelah APMM gagal Jaga Perairan Sabah, Tugas ini diserahkan kepada ATM


Kementerian Pertahanan kini bertanggungjawab menjaga perairan timur Sabah sepanjang 1,400 km yang sebelum ini di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dengan arahan terbaharu itu, perairan Sabah yang dikawal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), akan terletak di bawah tanggungjawab kementeriannya dengan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Saya menerima 'command' (kuasa pemerintahan) ini Jumaat lepas, yang suratnya telah diserahkan kepada saya oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku menteri yang bertanggungjawab berhubung APMM.

"Command APMM di Sabah telah diserahkan kepada saya (Kementerian Pertahanan), tidak lagi di bawah JPM," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera Singapura, Leftenan Jeneral Neo Kian Hong di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Ahmad Zahid menyifatkan penyerahan rasmi tersebut adalah perlu untuk mengkoordinasikan antara operasi yang dilakukan TLDM dan APMM.

"Saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan timbalan perdana menteri dan insya-Allah saya akan mengambil tanggungjawab ini untuk mempertahankan dan mewujudkan tanggungjawab 'surveillance' (pengawasan) di kawasan 1,400 km persisiran pantai dan kawasan perairan di timur Sabah ini," katanya.

Beliau berkata dengan penyerahan ini bermakna, Kementerian Pertahanan akan membantu APMM dari segi penambahan aset baharu dan keperluan lain yang perlu dibincangkan lanjut dengan Muhyiddin dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish.

Menjawab soalan berhubung tangkapan di Sabah, Ahmad Zahid berkata: "Kita mempunyai hubungan yang baik dengan Filipina dari segi pertahanan. Setiausaha Pertahanan Filipina Voltaire T Gazmin telah hubungi saya melalui telefon dan beritahu beliau telah mobilisasikan tentera laut dan pengawal pantai.

Katanya tangkapan yang dilakukan mempunyai dua bentuk iaitu mereka yang bakal menjadi penceroboh, iaitu yang datang dari kepulauan Sulu, ataupun yang datang dari perairan Malaysia masuk ke tempat mereka.

Mengenai lawatan tersebut, Ahmad Zahid menjelaskan ia adalah lawatan perpisahan Kian Hong kerana akan meninggalkan Angkatan Tentera Singapura sebelum bertugas dalam sektor awam.

"Dalam perbincangan itu, saya ada jelaskan apa yang berlaku di Lahad Datu. Tentunya walaupun mereka tak akan campur tangan dalam soal domestik di Malaysia, tetapi saya fikir sebagai sebuah negara Asean, mereka turut prihatin dengan permasalahan yang kita hadapi sekarang," katanya.

4 comments:

  1. kesian APMM..dapat kapal2 buruk jer..aset yang diturunkan drp banyak agensi lain spt TLDM, polis marin, jabatan laut, dll...kena lar bg dia orang asset2 baru

    ReplyDelete
  2. ni aku nak cerita pengalaman berurusan dengan APMM ..

    a] ketika aku bertugas dipelantar last year , banyak pam bot nelayan haram filipina menceroboh masuk memancing dikawasan larangan pelantar, dlm satu masa jumlah mereka mencapai 49..45 dan paling banyak 65 bot! dibawah pelantar itu mereka memasak!
    OIM suruh aku beritahu APMM bagitau keadaan bahaya, bot banyak, mereka boleh naik atau bakar pelantar bila2 masa ..masalahnya bila aku call APMM apa dia jawab? takde bot la encik ! ombak besar la encik! takde orang la encik!
    pam bot yg guna enjin pam air boleh ke pelantar, macamana pula APMM yg ada bot besar dan engine besar tak boleh pergi? ombak bukan alasan!!

    b]perang hari , tetiba ada panggilan dari walkie talkie ..orang APMM panggil bagitau mereka ada dikawasan pelantar, bila aku ambil teropong dan cari rupanya mereka bukan dikawasan pelantar, tapi 12 batu jauhnya!! , memancing ! jika berlaku serangan atau apa2 kpd pelantar , APMM tak akan sempat berbuat apa2,

    maknanya, APMM patut dilakukan rombakan dalam banyak segi, disiplin anggota paling perlu,pelantar sabah dari tanah besar cuma 65 nautika, tak jauh mana pun tapi kenapa APMM sebulan sekali datang ronda pun payah? 3 bulan sekali baru datang ...itu pun setelah puas kita panggil dan merayu!

    dlm kes Lahad Datu, APMM memang gagal! orang kampung dah call bagitau ada pergerakan mencurigakan malam itu , apa APMM jawab? ok ..nanti esok kami akan siasat!

    ReplyDelete
  3. Top level APMM tak competent la tu . Cher check background depa mungkin jenis yang do not love the sea !

    ReplyDelete
  4. Krisis pencerobohan diLahad Datu yang sehingga kini telah mengorbankan 10 anggota keselamatan Malaysia sehingga memaksa ATM campur tangan sebenarnya TIDAK SEHARUSNYA terjadi sekiranya APMM telah menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh rakyat dan Kerajaan untuk mengawal perairan dipantai timur Sabah selama ini. 2/3 barisan hadapan pertahanan negara senang senang dibolosi oleh bot bot pancung dan lansa dari Filipina sehingga membolehkan mereka menawan beberapa buah kampung dipantai timur Sabah sehingga sekarang ini. Rakyat Sabah rata rata sangat KECEWA dengan APMM. TLDM pun rasanya sama saja. Kapal kapal moden hanya berlabuh dan dipamirkan diLumut dan Sepanggar dan membiarkan kawalan dipantai timur ditahap minimum. Sistem pertahanan kita gagal. Sekarang baru kelam kabut untuk tunjuk kekuatan dan aset yang ada. Berbaloi untuk lawan Agbimuddin dengan beberapa kerat pengikutnya dengan jet pejuang, kereta kebal, kereta perisai, unit unit komando dan 7/8 battalion tentera dan polis? Malaysia akan memenangi peperangan dengan militan ini. Tidak ada masalah. Tetapi ianya juga akan tertulis dilipatan sejarah bagaimana agensi agensi penguat kuasaan ini telah mencalitkan arang dan memalukan rakyat Malaysia dimata dunia. Rakyat tidak akan dapat melupakan kegagalan yang memalukan ini sepanjang hidup mereka.

    ReplyDelete

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.