Monday, March 18, 2013

Wanita Sulu telah direkrut untuk jadi Snipper lancar perang gerila


Percaya atau tidak, kumpulan penembak tepat pengganas Sulu dipercayai turut melibatkan wanita.

Satu sumber memberitahu, kumpulan wanita Sulu yang berusia lingkungan awal 20-an itu difahamkan amat arif dalam penggunaan senjata dan mereka hanya mengambil masa singkat untuk mempelajari selok-belok penggunaan senapang.


“Kumpulan pengganas itu didakwa menggunakan tenaga penembak tepat wanita bagi memberi laluan kepada golongan lelaki untuk bertempur dengan pasukan keselamatan,” kata sumber itu.

Kata sumber itu lagi, senjata yang digunakan oleh pasukan penembak tepat pengganas Sulu itu kebanyakannya daripada jenis rifel M14 dan M1 yang turut digunakan oleh askar-askar Amerika Syarikat.

Saiz peluru yang digunakan bagi rifel M14 dan rifel M1 adalah sebesar 7.62 milimeter.

“Mungkin ada antara kumpulan penembak tepat wanita itu mengalami kecederaan ketika bertempur dengan pasukan keselamatan,” tambah sumber itu.

Bagaimanapun, jelas sumber itu lagi, sehingga semalam belum ada mayat pengganas wanita ditemui.


Sementara itu Sultan Sulu palsu, Sultan Jamalul Kiram III mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya tidak berganjak dari Sabah dan melancarkan serangan gerila terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Menurut laporan media, Kiram berkata berundur dari Sabah bukanlah satu pilihan untuk tentera-tenteranya.

"Mereka sudah di tanah air mereka jadi mengapa kembali?" kata Kiram kepada pemberita di kediamannya di Taguig, menurut laporan 'The Philippine Star'.

Sementara itu, jurucakap Sultan Sulu palsu, Abraham Idjirani yang menyifatkan tindakan memasuki Sabah sebagai satu 'perjuangan' berkata tenteranya akan meneruskan 'perjuangan' mereka.

Katanya, kesultanan Sulu telah menarik balik perintah gencatan senjata yang dikeluarkan dan tentera-tentera Diraja telah diarahkan melancarkan operasi secara "serang dan lari" terhadap pasukan keselamatan Malaysia.


Menurut laporan, Kiram berkata adik lelaki kepada Sultan Sulu, Agbimuddin Kiram dan pengikut-pengikutnya masih berada di Sabah dan ini bertentangan dengan laporan dari Malaysia yang mendakwa mereka telah melarikan diri.

Idjirani juga mendakwa Agbimuddin dan kumpulan pengikutnya masih kuat berdasarkan perbualan telefon dengan Agbimuddin pada malam Sabtu.

Katanya, tentera Diraja yang pada masa ini mempunyai 170 orang telah berpecah kepada tiga kumpulan bagi mengelak daripada pesawat pengintip yang berlegar di sekitar Lahad Datu.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.