Saturday, April 13, 2013

Khalid Tambah Gambar Superimpose Supaya Samannya Diterima Mahkamah


SHAH ALAM 12 April - Pengendali blog hamidahosman.blogspot.com memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, artikel asal yang ditulisnya dalam blog Ketua Penerangan Wanita UMNO, Dato' Hamidah Osman langsung tidak mempunyai gambar teknik tindih Timbalan Pesuruhjaya Pas III Selangor, Khalid Abdul Samad yang berpakaian seperti seorang paderi Kristian.

Azizul Azli Ahmad, 37, berkata, artikel asalnya yang disiarkan dalam hamidahosman.blogspot.com hanya mempunyai gambar Hamidah justeru dokumen yang dikemukakan di mahkamah oleh pihak Khalid selaku pihak plaintif adalah meragukan.

Dia turut menjelaskan, artikel yang dihasilkannya itu tidak pernah menyebut Khalid sebagai seorang yang murtad.

''Khalid mendakwa artikel ini telah memfitnah dia sebagai murtad namun perkataan murtad itu tidak wujud dalam artikel tulisan saya apatah lagi merujuk kepadanya.

''Justeru bagaimana ia boleh merujuk kepada plaintif jika perkataan itu tidak wujud lagipun artikel itu ditulis untuk menggesa umat Islam bersatu dalam isu penggunaan kalimah Allah,'' katanya sebagai saksi defendan terakhir.

Azizul yang kini menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara berkata demikian dalam pernyataan saksinya dalam perbicaraan kes saman fitnah Khalid terhadap Hamidah yang difailkan pada 23 Disember 2011.

Khalid menyaman Hamidah berhubung penyiaran gambar yang menggunakan teknik tindih gambar Khalid yang disiarkan melalui blognya pada Januari 2010.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khalid sebagai plaintif mendakwa, gambar itu menunjukkan beliau seperti seorang paderi Kristian dan seorang yang murtad.

Sementara itu, Azizul berkata, perkataan liberal yang ditulis dalam artikel berkenaan tidak merujuk kepada plaintif tetapi lebih kepada golongan yang bersifat terbuka.

''Saya juga tidak merujuk kepada plaintif dalam perkataan melacurkan agama malah ia tidak merujuk kepada mana-mana individu,'' katanya.

Dia turut menjelaskan, tujuannya menulis artikel itu adalah susulan kes Mahkamah Tinggi yang membenarkan gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan, Herald The Catholic Weekly.

''Ia adalah rasa tanggungjawab saya sebagai orang Islam untuk mengingatkan umat Islam lain bahawa kalimah Allah tidak boleh diguna pakai oleh orang bukan Islam.

''Ini kerana sepanjang pengalaman dua tahun di Indonesia apabila kalimah Allah dibenarkan diguna oleh penganut Kristian, saya melihat statistik penduduk negara itu yang murtad berdasarkan Majlis Agama Islam Indonesia selepas reformasi adalah sebanyak dua juta setahun.

''Malah di Bandung, gereja-gereja yang dinamakan Gereja Jemaah Allah dan Gereja Jemaah Rasul mewujudkan kecelaruan penduduk di antara gereja dan masjid,'' katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya peguam, Azhana Mohd. Khairuddin yang mewakili plaintif, Azizul memberitahu, hanya dia sahaja yang boleh mengakses blog berkenaan dan turut menafikan mengikut semua arahan Hamidah.

Dia turut mengaku membuang artikel dan menutup blog terlibat namun menjelaskan tindakan itu dilakukan setelah dia diterima menyambung pengajian di sebuah IPTA pada September 2011.

Katanya, Hamidah sendiri mencadangkan blog itu ditutup kerana tiada pihak yang dapat menggantikannya sebagai pengendali blog.

Dalam perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hashim Hamzah, Hamidah diwakili peguam, Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala Khalid turut diwakili peguam, Mohamed Hanipa Maidin.

Mahkamah menetapkan 28 Jun ini untuk keputusan perbicaraan itu dan mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis dan hujahan balas masing-masing pada 21 Mei dan 10 Jun ini.

1 comment:

  1. Syabas Azizul, aku orang ganu tapi aku suka baca blog Sgi Rapat ni. Bernas, berani, menyakinkan dan profesional. Aku doakan kemenangan berpihak kepada kak Midah.

    ReplyDelete

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.