Tuesday, April 2, 2013

Nallakarupan Akan Heret Karpal Singh Sebagai Saksi Kes LGBT Anwar


Peguam, Karpal Singh tersenarai antara tujuh saksi yang akan dipanggil pada perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim terhadap Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan atas dakwaan mengaitkan beliau dengan aktiviti biseksual.

Keterangan Pengerusi DAP itu, menurut peguam terkemuka, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Nallakaruppan amat penting kerana Karpal adalah saksi berguna dan keterangan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dapat membantu pihaknya.

Muhammad Shafee berkata, beliau telah diarahkan untuk mendapatkan sapina terhadap Karpal kerana antara 22 Oktober dan 18 Disember 1997, Karpal di Parlimen mengatakan beliau mendapat Perakuan Berkanun (SD) bekas pemandu isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Azizan Abu Bakar berhubung kejadian liwat.

Menurut Muhammad Shafee, berdasarkan perbahasan hansard di Parlimen, Karpal ketika itu pernah berkata, beliau mempunyai maklumat mencukupi dan seolah-olah tertarik dengan SD Azizan.

Tambahan pula, menurut beliau, Azizan dan ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali yang tersenarai sebagai saksi Nallakaruppan juga pernah bertemu Karpal untuk mendedahkan kejadian liwat dalam pendakwaan pertama terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Sehubungan itu, ujar Muhammad Shafee, kehadiran Karpal sebagai saksi amat penting dan perkara ini perlu dipandang serius kerana Anwar ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Namun ujar beliau, pihaknya melihat fakta bahawa Azizan dan Ummi Hafilda pergi berjumpa Karpal, akan menyokong dan membuktikan kebenaran dakwaan Azizan.

Ini kerana awal tahun 1997, sebelum Anwar meninggalkan jawatan itu, kata Muhammad Shafee, Karpal ada menyatakan, dua individu tersebut datang bertemunya.

Perkara tersebut membabitkan isu kredibiliti Azizan, oleh itu amat berguna untuk menampilkan Karpal sebagai saksi, ujar Muhammad Shafee.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di luar Mahkamah Tinggi di sini hari ini, sejurus selesai mengendalikan satu kes lain.

Bagaimanapun Muhammad Shafee berkata, pihaknya masih belum mendapatkan perintah sapina memandangkan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera yang mendengar perbicaraan kes saman itu menetapkan 24 April ini bagi pengurusan kes.

Tarikh itu ditetapkan sementara menunggu keputusan rayuan yang dikemukakan oleh Nallakaruppan dan Anwar di Mahkamah Rayuan pada 18 April ini.

Katanya, Azizan juga akan menjadi saksi penting Nallakaruppan yang dinamakan sebagai pihak defendan kerana saksi itu akan memberikan keterangan apa yang didakwa olehnya dalam kes liwat pertama terhadap Anwar.

Pada 26 Mac tahun lalu, Anwar menyaman Nallakaruppan dan Utusan Melayu (M) Bhd. berhubung petikan ringkas yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 20 Mac 2012 di muka surat hadapan bertajuk Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang - Nalla dan berita penuh di muka surat enam bertajuk Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual.

Beliau menamakan Nallakaruppan yang juga bekas Pengarah Eksekutif Magnum Corporation Bhd. (Magnum), Utusan Melayu dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Anwar selaku plaintif dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, perkataan fitnah itu antaranya membawa maksud, beliau tidak layak memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Malaysia, seorang pemimpin muslim yang berkelakuan tidak selari dengan ajaran Islam dan rendah moral.

Plaintif juga mendakwa, perkataan fitnah tersebut tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat sehingga menyebabkan kecederaan teruk kepada reputasi peribadi, politik dan menjejaskan kedudukannya selain terpaksa menanggung malu.

Bagi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, tuduhan-tuduhan tersebut sengaja direka untuk mencemar dan memburukkan reputasinya sebagai Ketua Pembangkang dan ahli politik.

Selain ganti rugi RM100 juta dan ganti rugi teruk serta teladan, plaintif menuntut perintah injunksi untuk menghalang pihak defendan daripada menerbitkan semula perkataan fitnah itu, sama ada ada secara lisan atau media percetakan atau melalui internet.

1 comment:

  1. Dah 4 kali teman undi BN di sungei rapat kali ni tak sioor dah...

    ReplyDelete

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.