Thursday, April 11, 2013

Pengacau Hari Mengundi Akan Dikena Tindakan Undang-Undang


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang cuba mengacau proses pengundian pada pilihan raya umum ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya mempunyai maklumat mengenai kumpulan yang dikenali ”MATA” dipercayai akan menghalang pengundi daripada menjalankan tanggungjawab mereka pada hari mengundi 5 Mei depan.

“Kita sudah kenal pasti maklumat yang dikemukakan oleh kawan-kawan kita (Polis Diraja Malaysia) mengenai kumpulan MATA ini. Saya menasihatkan mereka yang terlibat supaya insaf dan hentikan niat untuk mengganggu pada hari mengundi sebelum pihak polis bertindak.

“Mereka perlu tahu tindakan menghalang pengundi untuk mengundi adalah salah,” katanya menerusi Program khas bertajuk ”Landskap PRU-13” yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi TV1 malam tadi.

Beliau turut mendedahkan modus operandi kumpulan itu yang antaranya membuat kacau berhubung dakwat kekal dan mendakwa kononnya nombor siri kertas undi boleh menyebabkan pengundinya dikenal pasti kelak.

“Modus operandi kumpulan itu ialah mereka akan mencalitkan dakwat pada jari seseorang pengundi dan kemudian mereka akan membuat bantahan kononnya pengundi itu sudah mengundi.

“Satu lagi taktik mereka membuat kacau dengan meminta kertas undi lain daripada apa yang diberikan oleh petugas pilihan raya kononnya mendakwa kertas undi yang mempunyai nombor siri akan membolehkan pengundi dikesan kelak,” kata Abdul Aziz.

Abdul Aziz berkata, SPR juga tidak menggalakkan calon membawa ramai penyokong ke pusat penamaan pada 20 April nanti kerana boleh mengganggu tugas polis untuk mengawal keselamatan awam.

“Calon dinasihatkan tiba awal di pusat penamaan calon, tidak membawa ramai penyokong parti kerana akan menyusahkan polis untuk kawal keselamatan awam. SPR juga tidak menyediakan khemah serta membekalkan makanan pada hari tersebut.

“Ramai penyokong hadir pada hari tersebut tidak memberi jaminan calon itu akan menang,” katanya

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.