Tuesday, April 9, 2013

Ratusan Pengganas Sulu Dikatakan sedang menuju ke Lahat Datu Hanyalah Khabar Angin sahaja


Polis akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa untuk mengesan sekiranya terdapat saki-baki mayat pengganas yang ditanam di Kampung Tanduo, sejak kumpulan militan memasuki kampung itu 12 Februari lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang, berkata unit anjing K9 akan dibawa ke sekitar kampung itu untuk mengesan lubang yang dijadikan kubur oleh pengganas berkenaan.

"Kita akan membuat tinjauan atau pemeriksaan kerana mungkin ada saki-baki mayat pengganas yang ditanam di sekitar kampung itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau beberapa lokasi insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, dekat sini.


Semalam, polis mengeluarkan 15 mayat termasuk seorang wanita dalam tiga lubang.

Tan sebelum itu membawa media ke beberapa lokasi insiden pencerobohan di kampung itu dan mendengar taklimat oleh Pegawai Turus Gerakan Pasukan Gerakan Am Sabah, Deputi Superintendan Toipi Lamat.

Tan dalam pada itu berkata, walaupun kawasan itu sudah boleh dikatakan bebas daripada anasir pengganas, pihak keselamatan sentiasa membuat pemantauan dan setakat ini belum ada perancangan untuk menamatkan operasi kawalan di situ.

Sebelum itu terdapat khabar angin bahawa laporan media Filipina mendakwa terdapat ratusan pengganas Kesultanan Sulu sedang bersiap sedia untuk menyeberangi perairan Sulu di selatan Filipina ke pantai timur Sabah bagi mencetuskan kekacauan.

Semalam, pasukan keselamatan negara menahan bot membawa 32 penceroboh bersenjata di Pulau Tambisan di perairan Lahad Datu. 


Pihak polis menasihati penduduk agar tidak mendengar khabar-khabar angin yang dibawa oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

1 comment:

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.