Friday, April 5, 2013

Senarai calon BN: Najib Akan Buat Kejutan


Datuk Seri Najib Razak semalam berkata akan ada kejutan dalam pemilihan 727 calon Barisan Nasional (BN) dan perubahan kerusi yang ditandingi 13 parti komponen BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menegaskan, perubahan calon dan pengagihan 222 kerusi Parlimen dan 505 Dewan Undangan Negeri (DUN) itu bukan untuk mengelirukan rakyat, sebaliknya memberi peluang kepada pengundi untuk terus memberikan kepercayaan kepada BN.

Berikutan itu katanya, BN mengambil strategi drastik dengan mengumumkan calon dan perubahan pengagihan kerusi lebih awal daripada hari penamaan calon, tidak seperti pilihan raya sebelum ini.

Katanya, ini akan membolehkan calon mempunyai lebih masa untuk memperkenalkan diri dan mendekati pengundi manakala pengundi pula boleh membuat penilaian mengenai mereka berbanding menamakan calon pada hari penamaan.

“Kita (BN) ada masa untuk memerhatikan reaksi (pengundi) kepada calon kita dan apa-apa perkara untuk meredakan (keadaan) jika ada timbul masalah,” katanya.

Ditanya mengenai peratus muka baru, Perdana Menteri hanya menjawab: “Tunggu pengumuman nanti. Saya tidak mahu menggambarkannya tetapi perubahan tetap akan berlaku.
“Nantilah dulu... kita hendak satu demi satu. Kalau saya umumkan semua, tidak adalah elemen kejutan.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN yang dihadiri semua 13 presiden parti komponen BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Terdahulu, Najib yang juga Presiden UMNO mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Kedua-dua mesyuarat berkenaan membincangkan persiapan BN menghadapi PRU-13.

Sambil menjelaskan beliau berpuas hati dengan persiapan dan semangat tinggi parti komponen BN, Najib menegaskan beliau yakin BN akan memperoleh majoriti dua pertiga tetapi jentera parti harus bekerja kuat sambil berusaha meminimumkan masalah dalaman.

Sebelum ini, Najib berkali-kali menegaskan, BN akan mengemukakan calon boleh menang dan tidak teragak-agak memberi peluang kepada muka baru sebagai calon meskipun tidak memegang jawatan tinggi dalam parti komponen.

Kelmarin, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, senarai calon BN akan diumumkan dalam tempoh antara tujuh hingga 10 hari sebelum hari penamaan calon.

727 calon BN

Katanya, Najib akan menyerahkan senarai calon sah bertanding kepada Pengerusi BN negeri selepas selesai tapisan dan senarai berkenaan sudah dimuktamadkan serta dalam proses tapisan akhir, termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Insolvensi dan polis.

Seramai 727 calon BN akan bertanding di 222 kerusi Parlimen dan 505 DUN. Jumlah keseluruhan DUN ialah 576 tetapi 71 DUN di Sarawak sudah mengadakan pilihan raya negeri pada April 2011.

Seramai 13,291,385 pemilih layak mengundi pada PRU-13 berikutan pewartaan senarai daftar pemilih terkini pada 21 Februari lalu.

1 comment:

  1. ya kita menantikan kejutan bersama sama...kita mahu winnable candidate...fresh bukannya dah masuk 5 penggal juga dipanggil winnable candidate..termasuk ciri2 nya majoritinya cipot pd pru12 harap2 faham2 sajalah&bertanding dikws yg bercampuran..berilah laluan pd muka2 baru,tak semestinya pengundi yg menyokong kita itu grasss rooottt..

    ReplyDelete

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.