Wednesday, May 1, 2013

Hudud dan Negara Islam tidak akan dilaksana - DAP Perak


Selepas beberapa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng secara terbuka menolak hasrat hukum hudud, DAP Perak hari ini membuat penegasan sama dengan alasan pelaksanaan undang-undang itu tidak ada dalam agenda pakatan pembangkang.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menegaskan, agenda penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud tidak akan dilaksanakan walaupun pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Menurutnya, perkara tersebut jelas dipersetujui oleh Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam konvensyen pakatan pembangkang di Shah Alam, Selangor pada 2009.

"Dalam konvensyen itu, ketiga-tiga parti telah bersetuju bahawa kalau pakatan pembangkang menjadi kerajaan, tiga dokumen akan menjadi panduan iaitu Perlembagaan Persekutuan.

"Kedua manifesto polisi bersama pakatan pembangkang dan dokumen ketiga ialah buku jingga yang menyenaraikan semua projek dan program yang akan dilaksanakan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Koo Ham memberitahu, pakatan berkenaan juga sudah bersetuju dengan ketiga-tiga dokumen tersebut.

"Sehingga ada perubahan atau persetujuan semua pihak, kalau pakatan pembangkang menjadi kerajaan, tidak ada negara Islam atau hukum hudud," katanya.

Isu hudud kembali hangat baru-baru ini apabila Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din menegaskan, pendirian parti itu terhadap hudud tidak pernah berubah dan Pas tetap akan melaksanakan hukum itu sekiranya pakatan pembangkang memenangi PRU-13.

Haron juga dilaporkan tidak menolak kemungkinan Pas keluar meninggalkan pakatan pembangkang seandainya perjuangan untuk melaksanakan hudud ditentang sekutu parti berkenaan.

Pendirian yang disuarakan Haron menyebabkan berlaku pertikaian antara pakatan pembangkang selepas DAP berkeras menghalang pelaksanaannya sekiranya pembangkang berjaya menguasai Putrajaya.

Koo Ham turut mengakui, terdapat perbezaan perjuangan antara Pas, DAP dan PKR tetapi katanya, itu tidak penting asalkan ketiga-tiga parti itu mempunyai matlamat yang sama untuk mengatasi masalah jenayah di Malaysia.

Menurut Koo Ham lagi, walaupun hudud tidak akan dilaksanakan, pakatan pembangkang akan menerapkan nilai-nilai Islam dan sejagat dalam pemerintahannya kalau menjadi kerajaan.

"Begitu juga dengan penganut agama lain di Malaysia. Setiap orang yang mempercayai sesuatu agama percaya agama mereka adalah yang terbaik dan cara agama mereka terbaik untuk menangani masalah masyarakat," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130501/po_03/Hudud-tidak-akan-dilaksana---DAP-Perak#ixzz2RzoVQbPx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.