Sunday, July 21, 2013

Khalid Samad Pembela Duta Vatican


PAS Selangor menolak keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mahukan tindakan sesuai diambil terhadap Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino, berhubung kenyataannya yang menyokong penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam di negara ini.

"(Tindakan) itu merupakan satu perkara yang tidak perlu dilakukan kerana dia (Marino) hanya memberikan pandangan dia dan kalau kita ambil apa-apa tindakan terhadap dia pun, ianya tidak akan mengubah pandangan dia," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad.

Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Syeikh Mohd Baderuddin Ahmad yang juga Mufti Kedah berkata badan itu itu semalam memutuskan bahawa campurtangan Marino dalam isu kalimah Allah tidak boleh dimaafkan.

Dalam wawancara dengan media Malaysia baru-baru ini, Marino berkata pihak gereja di Malaysia menyediakan hujah-hujah bernas bagi menerangkan kenapa kalimah Allah boleh digunakan dalam Bible.

Kenyataan beliau disifatkan campurtangan dalam urusan dalaman negara ini kerana isu penggunaan kalimah Allah masih belum diputuskan oleh mahkamah.

Badan-badan Islam dan ahli politik turut membidas Marino kerana disifatkan menghina Islam. Pegawai tertinggi gereja Katolik di Malaysia itu kemudiannya memohon maaf setelah dipanggil oleh Kementerian Luar untuk memberi penjelasan.

Khalid berkata pandangan Marino harus dihormati sungguhpun ia boleh dianggap sebagai campurtangan pihak luar dalam hal ehwal Malaysia.

"Memanglah sepatutnya dia sebagai seorang yang datang dari luar negara tidak mencampuri hal dalaman negara kita..ianya boleh dikatakan sebagai tidak sopan.

"Namun saya juga boleh faham yang kekeliruan yang dialami oleh beliau kerana dia melihat undang-undang di Malaysia ini berbeza dari satu negeri ke negeri yang lain dalam persoalan kalimah Allah itu.

"Maka bagi seseorang yang datang dari luar negara, mungkin dia beranggapan bahawa ianya satu isu yang boleh dibincangkan oleh kerana ada yang kata boleh dan ada yang kata tak boleh dan dia ingin menyatakan pandangannya," kata Khalid yang kalah saman kes fitnah dengan Dato Hamidah Osman baru-baru ini.

Menurut beliau, adalah memadai Marino sekadar diberi nasihat mengenai struktur undang-undang Islam di Malaysia.

"Dari segi itu, ia adalah pandangannya dan kita hormatilah pandangannya dan kita beritahu pada dia bahawa negara kita ada undang-undang bagi negeri-negeri yang berbeza," katanya lagi.

Kedah menjadi negeri terbaru yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan mufti negeri itu Syeikh Mohd berkata permohonan maaf oleh Marino tidak mencukupi.

"Tindakan perlu diambil sebab dia telah mencampuri urusan negara kita. Dia sebagai duta datang untuk menjalinkan hubungan baik dengan negara kita dan bukan untuk menyentuh perkara-perkara yang sudah diputuskan dalam negara ini,” kata beliau.

"Kita sudah bincang dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan dan sudah sepakat untuk tidak boleh memaafkan perkara-perkara seperti ini," katanya.


Antarapos

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.