Sunday, August 4, 2013

Rumah Pengasas Vida Beauty Musnah, Tiga Maut




Tiga termasuk dua anak pengasas produk kecantikan Vida Beauty yang terkenal dengan jenama Pamoga ditemui mati dalam kebakaran di rumah pekerja syarikat berkenaan di Meru Hill, Bandar Meru Raya di Ipoh malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9 malam itu, seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak tersebut ditemui mati dalam bilik air tingkat atas rumah tersebut.

Mangsa yang terkorban ialah Mohd. Nor Syamil, 26; Eddie Zuhdi Mohd. Amin, 11 dan adiknya, Edrie Zikrie, 10.

Dua lagi penghuni yang berada di dalam rumah tersebut sewaktu kejadian terselamat.

Seorang daripadanya adalah pekerja lelaki berusia 27 tahun patah kaki selepas bertindak nekad terjun dari tingkat dua rumah berkenaan bagi menyelamatkan diri.

Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah kereta mewah jenis Bentley, sebuah kereta Perodua Kancil dan beberapa buah motosikal.

Kerja-kerja memadam kebakaran dan membawa keluar ketiga-tiga mayat selesai kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Menurut Timbalan Penguasa Bomba Negeri, P. Samasuvam, punca kejadian masih dalam siasatan.

“Semasa kami sampai di lokasi kejadian, api sudah marak dan bumbung rumah jatuh," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketiga-tiga mayat berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat.


Sebelum ini Vida sempat meraikan majlis berbuka puasa dengan anak-anak yatim di rumah tersebut.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.