Friday, September 13, 2013

Bekas Ketua Wirawati Perkasa Pasti Akan Cabar Shahrizat Jalil


Belum pun reda isu Azlina Osman Said, Ahli Umno seumur hidup, Raihan Suleiman memutuskan untuk mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan Ketua Wanita.

"Untuk membawa perubahan kepada parti, saya perlu memimpin. Saya perlu membawa perubahan daripada dalam parti itu sendiri.

"Saya tidak mahu hanya bercakap kosong. Saya perlu tunjukkan kepada masyarakat saya mampu melakukannya," katanya

Beliau berkata dia akan memfailkan kertas pencalonannya pada 21 September ini.

Ketika ditanya sekiranya beliau menerima kritikan ekoran pengumumannya itu, Raihan berkata tidak ada apa yang perlu digusarkan dengan hanya bertanding.

"Selama ini, tidak ada sesiapa pun dari Umno yang menolong saya, dan kehidupan saya juga masih sama.

"Saya masih boleh lagi makan, hidup, beli rumah dengan duit saya sendiri. Saya percaya semua ini datang daripada Allah," katanya.

Walaupun beliau mengumumkan untuk bertanding sama dengan pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Azalina Othman Said (yang telah mengumumkan penarikan diri beliau daripada saingan), Raihan berkata beliau tidak terkejut kerana dia bukannya berada dalam radar media.

"Siapalah saya berbanding mereka, yang mempunyai pangkat dan gelaran? Saya hanya orang biasa yang mempunyai kehidupan seperti orang lain," katanya yang juga bekas Ketua Wirawati Perkasa.

Bagaimanapun, Raihan yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Kulim Bandar Baru, menegaskan keinginannya untuk mencabar Shahrizat bukanlah untuk menyebabkan perpecahan dalam parti.

"Bagaimana saya hendak sebabkan perpecahan jika saya sendiri tidak mempunyai penyokong? Jika saya ada pun, saya akan beritahu mereka jangan benci Shahrizat kerana Allah telah beri dia peluang untuk memimpin lagi," katanya.

Ahli politik berusia 47 tahun itu berkata parti perlu memberi peluang kepada muka baru 'yang mempunyai imej yang bersih dan tidak ada liabiliti' demi perjuangan parti pada masa hadapan.

"Ketika pilihan raya umum yang lalu, saya sangat terkejut apabila difahamkan sayap Wanita kurang berkemampuan, tidak mempunyai pemimpin yang lantang bersuara seperti parti pembangkang.

"Kenapa tidak kita tampilkan lebih ramai muka baru tertuamanya generasi muda - untuk menjadi pendebat yang baik berbanding hanya pergi meraih undi semata-mata?," ujarnya.


0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.