Tuesday, November 19, 2013

Anwar Lebih Rela Bawa Negara Tiada Agama dan Tiada bangsa


Fahaman "liberal demokratik" dalam Pakatan Rakyat, termasuk melibatkan pemimpin termashurnya Anwar Ibrahim didakwa boleh menjuruskan Malaysia ke arah sebuah negara sivil tidak beragama dan berbangsa.

Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) mendakwa, doktrin itu boleh memberi kesan besar kepada identiti Malaysia sebagai negara Islam berteraskan Melayu.

Presidennya Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, Pakatan dan NGO seperti Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) dan Institut Kajian Dasar (IKD) mempromosi doktrin itu secara terancang bagi mengubah pemikiran ahli politik dan generasi muda melalui pelbagai medium.

"Kalau kita mengkaji dari segi pengakuan, Anwar sendiri sebagai ketua pembangkang mengisytihar dia adalah liberal demokrat, ataupun pejuang demokratik liberal. Kalau kaji dia punya ucapannya, dia pun mendokong mafhum (maksud fahaman) itu.

"Saya ikuti (perkara) ini lama, (mereka) mempromosi fahaman ini. Kalau kita tengok Buku Jingga, tidak keluar daripada mafhum liberal demokratik. Kalau kita tengok agenda DAP juga selari atau sejajar dengan faham liberal demokratik.

"Karpal secara jelas menyatakan tahaluf (kerjasama) mereka dengan PAS dan PKR berasaskan liberalisme dan pluralisme. Ini suatu yang sangat jelas, sebab itu kita lihat banyak NGO hak asasi berlindung di sebalik itu," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan berhubung dakwaan fahaman liberalisme dan pluralisme dalam kerjasama politik dalam Pakatan.

Abdullah Zaik memberi amaran, akan berlaku "malapetaka besar" kepada bangsa Melayu sekiranya identiti "tidak berbangsa" mengambil tempat di negara ini.

Ini kerana katanya, ekoran kebimbangan kaum Melayu kehilangan kuasa dan tanah air berdaulat yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Abdullah Zaik juga berkata, orang Cina atau India mempunyai "tanah berdaulat" di negara masing-masing tetapi pada masa yang sama mempersoalkan pemilikan tanah di negara ini.

"Bolehkah orang Melayu, kata 'di negara China, kita buat sama rata, orang Melayu pun boleh memiliki tanah orang Cina.' Orang Cina tak akan bagi punya. India pun begitu juga. '(Kalau Melayu kata) ini tanah India, tanah orang Melayu juga.' Orang India pun tak terima.

"Tapi malang (perkara) ini dilaksanakan orang Melayu supaya orang Melayu menerima (idea itu) dan akhirnya kuasa Melayu hilang kuasa politik dan dan tanah kedaulatannya. Apa akibatnya kepada bangsa Melayu? Jadi manusia menumpang di negara sendiri," katanya

Ditanya sama ada liberal demokratik juga mempengaruhi PAS, Abdullah Zaik berkata parti Islam itu cuba menyesuaikan diri dengan kerangka fahaman itu dengan mengungkapkan dasar perjuangan parti dalam bentuk baru.

Mengulas kerjasama PAS dalam Pakatan, Abdullah berpendapat kumpulan ulama mahu mengekal parti itu sebagai sebuah parti yang bebas, tidak cenderung pada mana-mana tokoh atau diikat kemas dengan tahaluf siyasi (kerjasama politik).

Manakala golongan 'Erdogan' pula, dakwa Abdullah Zaik mahu membawa PAS menurut cara Anwar yang juga ketua umum PKR.

"Kalau dalam tahaluf siyasi, tidak sepatutnya PAS diikut kukuh, PAS mesti mempunyai hak dan indipenden, dan mempunyai kebebasan membuat keputusan sendiri kerana melibatkan dasar. Itu maruah sebuah parti.

"Saya lihat tahaluf siyasi merugikan Islam yang dibuat dalam Pakatan, dan merugikan umat Islam di Malaysia. Dan PAS, dengan penglibatan itu dapat memenangkan golongan liberal.

"Saya setuju PAS keluar daripada Pakatan," katanya ketika ditanya sama ada PAS wajar keluar daripada Pakatan susulan perkara itu.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.