Wednesday, December 4, 2013

27 Daripada 33 Pemimpin Umno Bahagian Kepong Ugut Letak Jawatan


Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dijangka akan menubuhkan jawatankuasa penaja bagi mengambil alih kepimpinan UMNO Bahagian Kepong, jika 27 daripada 33 pemimpin bahagian itu meneruskan 'ugutan' untuk meletak jawatan.

Tindakan mereka hendak meletak jawatan yang dimenangi pada pemilihan parti Oktober lalu, adalah satu bentuk ugutan selepas keputusan muktamad diputuskan Jawatankuasa Pengurusan UMNO Pusat.

Rasa tidak puashati ekoran gesaan UMNO bahagian Kepong supaya pemilihan jawatan Timbalan Ketua Bahagian itu diadakan semula, atau 27 daripada 33 kepimpinan UMNO bahagian berkenaan akan meletak jawatan.

Setiausaha UMNO bahagian itu Ahmed Zaharani Yusof Omar berkata ini kerana dua pertiga daripada kepimpinan bahagian tidak berpuas hati apabila kemenangan Mohd Khilmi Yusop bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian pada 19 Oktober lalu ditarik balik tanpa penjelasan munasabah, selain 21 undi rosak disahkan boleh diguna pakai.

"Sesiapa sahaja yang mahu letak jawatan, kita tidak boleh halang, terserah. Kalau tidak boleh terima keputusan muktamad, terserahlah. Badan Perhubungan UMNO negeri akan ambil alih bahagian Kepong, buat penaja semula," katanya.

Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan 
yakin Lembaga Disiplin UMNO tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika kepimpinan bahagian terus memutarbelitkan fakta melalui kenyataan kepada media.

"Tidak ada sebab munasabah untuk diadakan pemilihan semula kerana pertamanya, jika mahu diadakan semula, ia memerlukan sebab yang kukuh dan munasabah. 

"Kita juga sudah meneliti semula undi rosak dan dapati ia tidak rosak selain kita juga telah memanggil semua pihak, termasuk calon menang dan kalah, wakil calon dan pengerusi pemantau pemilihan untuk berbincang mengenai perkara ini," katanya.

Beliau berkata kertas undi rosak itu disemak semula oleh Setiausaha Kerja UMNO Pusat Datuk Ab Raof Yusoh, wakil ibu pejabat UMNO Pusat, Setiausaha Kerja UMNO Wilayah Persekutuan dan pengerusi Jawatankuasa Pemantau Pemilihan UMNO bahagian Kepong, yang mengesahkan ia tidak rosak.

Syed Ali berkata keputusan muktamad dengan mengisytihar Datuk Norizan Ali menang jawatan Timbalan Ketua Bahagian dilakukan Jawatankuasa Pengurusan UMNO selepas meneliti laporan Badan Perhubungan dan diperakui Jawatankuasa Khas Bantahan UMNO, yang diketuai Tan Sri Azmi Khalid.

"Kita sudah menulis surat rasmi kepada kepimpinan bahagian dengan mengatakan keputusan kita adalah muktamad. Kita tidak mahu perkara ini berlanjutan, terimalah keputusan ini kerana kita mahu teruskan kerja ke arah pilihan raya umum ke-14," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.