Friday, February 28, 2014

Azmin Saman Akhbar Suara Keadilan RM 2 Juta


 Mungkin kerana tidak berpuas hati dengan tindakan editorial akhbar Suara Keadilan menerbitkan artikel yang disifatkan sebagai fitnah dan sengaja ingin menjatuhkan maruahnya, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dilaporkan telah mengambil tindakan undang-undang.

Menurut sebuah portal pro-pembangkang, Azmin dikatakan menyaman akhbar yang merupakan lidah rasmi parti PKR itu sebanyak RM 2 juta, kerana menerbitkan artikel yang memalukannya.

Namun usaha untuk mendapatkan pengesahan Azmin berhubung isu tersebut gagal, apabila dia tidak dapat dihubungi. Menurut sumber terdekat, ahli parlimen Gombak itu sedang berada di tanah suci bagi mengerjakan ibadah umrah.

Terdahulu, akhbar tersebut telah menyiarkan rencana yang menghentam Azmin secara terbuka. Artikel yang ditulis oleh Hishamuddin Rais itu telah disiarkan oleh akhbar tersebut pada keluaran 160, bertarikh 11 Februari 2014 di muka surat 22.

Pada tarikh yang sama, artikel tersebut turut disiarkan oleh portal Malaysiakini yang juga merupakan media tidak rasmi kepada pembangkang.

Hishamudin di dalam artikel yang bertajuk ‘Khalid dan Azmin’ itu antara lainnya melabelkan Azmin sebagai pemimpin PKR yang mempunyai unsur dan ideologi Umno sehingga menyebabkan dia kurang disenangi oleh pimpinan parti termasuklah dari Pas dan DAP.

“Hanya PAS dan DAP sahaja yang dapat menjawab kenapa mereka merasa tidak yakin terhadap si Azmin… Dalam masa yang sama Azmin Ali yang tidak diyakini ini berpangkat Timbalan Presiden PKR.

“Mungkin PAS dan DAP juga menyedari dan terpengaruh apabila mengetahui bahawa sosok yang bernama Azmin Ali ini tidak diminati ramai dalam PKR sendiri. Azmin Ali disurahkan sebagai pemilik DNA - United Malays National Organisation. Azmin disurahkan sebagai sedang membawa budaya gerombolan ‘lanun Melayu’ ke dalam badan politik PKR”, dakwanya.

Hishamudin yang merupakan antara penyokong kuat Anwar itu turut mengatakan, disebabkan Azmin membawa DNA barah, dia adalah antara punca berlakunya masalah di Selangor dan PKNS sehingga MEMAKSA campur tangan Anwar.

“Dalam masa yang sama kisah Azmin dan duit ini masuk akal juga. Untuk pengundi di Gombak atau di Seri Setia – mereka tertanya-tanya kenapa si Azmin ini gila-gila sangat nak jadi MB Selangor? Kenapa begitu gian hendak jadi MB?

“Tidak cukupkan menjadi Adun dan YB Parlimen Gombak? Kalau ingin membantu rakyat, kalau mahu menolong warga miskin apakah perlu menjadi MB? Soalan-soalan ini telah berdengung di semua kepala yang berfikir. Macam ada Cukong di sebalik Gombak.

“Mari kita lihat perangai Azmin semenjak selesai PRU13 dahulu. Apabila rakyat bangun membantah penipuan PRU13 – Si Azmin Ali ini baling sepana. Azmin memberi ingatan agar orang ramai TIDAK dibawa ke jalan raya. Twiter Azmin yang mempertikaikan langkah turun ke jalan raya untuk membantah penipuan PRU13. Isi Twiter si Azmin ini jelas bersifat ‘sabotaj’. Ini ciri dan watak DNA United Malays National Organisation” dakwa Hishamudin lagi.

Di dalam perkembangan yang sama, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, jawatankuasa khas yang diketuai Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty telah ditubuhkan bagi menyiasat perkara tersebut.

"Perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat MPP (Majlis Pimpinan Pusat) yang diadakan di Kajang baru-baru ini. Keputusan MPP ialah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada lima orang untuk kemudiannya berjumpa dengan kumpulan Suara Keadilan bagi mengumpulkan maklumat, latar belakang dan mendengar pandangan mereka," katanya.

Jelas Saiduddin, PKR hanya akan bertindak selepas mendapatkan fakta lengkap terhadap siasatan yang sedang dijalankan itu.

"Kalau nanti mereka menemui maklumat seperti surat guaman dan sebagainya ke atas Suara Keadilan, jawatan kuasa itu akan bawa saranan kepada pimpinan pusat. Buat masa ini belum terima. Saya dengar begitu (saman Suara Keadilan)...hanya diberitahu melalui SMS," katanya lagi.

Kesimpulannya sekiranya isu ini benar, tindakan Azmin ini mungkin sebagai reaksi terhadap cubaan beberapa individu di dalam parti yang cuba membunuh karier politiknya menjelang pemilihan parti itu yang bermula bermula 25 April ini.

1 comment:

  1. Boleh konfem tak dia pergi umrah atau tempat lain?

    Dengar cerita dulu penasihat agung sebuah parti pembangkang memberitakan yang dia sedang berumrah tetapi bukan di Mekah.

    Wallahu a'lam.

    ReplyDelete

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.