Thursday, February 20, 2014

Parlimen Tapah kekal Milik BN K Vasantha Kumar Diarah Bayar Kos RM110,000


Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan bagi kawasan Parlimen Tapah selepas Mahkamah Pilihan Raya di Ipoh sekali lagi menolak petisyen yang difailkan calon PKR untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi kawasan itu dengan kos.

Hakim Abdul Rahman Sebli yang membuat keputusan itu berkata petisyen yang dikemukakan K Vasantha Kumar mempunyai kecacatan dan fakta yang diperjelaskan adalah tidak sempurna.

Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berkata pempetisyen mendakwa bahawa berlaku sogokan ketika PRU13, namun tidak dinyatakan secara terperinci siapa yang melakukannya.

Petisyen itu juga tidak menyentuh mengenai keputusan pilihan raya dengan tidak memperjelaskan secara terperinci bagaimana kekalahan itu berlaku, katanya.

Dengan itu, mahkamah memutuskan responden pertama iaitu Datuk M Saravanan daripada BN dipilih sebagai Ahli Parlimen Tapah dengan sewajarnya.

Abdul Rahman juga memerintahkan pempetisyen membayar RM50,000 kepada Saravanan dan RM30,000 masing-masing kepada responden kedua iaitu Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Tapah Razali Bakar dan responden ketiga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Peguam Abu Bakar As Sidiq mengetuai barisan peguam Saravanan dan Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke serta Khairul Nizam Abu Bakar mewakili Razali dan SPR.

Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Tapah diremit semula ke Mahkamah Pilihan Raya untuk mendengar merit kes selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya yang difailkan pembangkang.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah, Datuk M. Saravanan menang dengan majoriti 7,927 undi dalam pertempuran empat penjuru menentang K. Vasantha Kumar (PKR), Shahruzzaman Bistaman (Berjasa) dan Ridzuan Bani (Bebas).

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.