Tuesday, February 11, 2014

Rayuan Terakhir Anwar Untuk Gugurkan Shafee Diketahui Hari Ini


Keputusan terhadap rayuan Anwar itu perlu dibuat pada hari yang sama bagi membolehkan rayuan pihak pendakwaan dalam kes liwat terbabit di Mahkamah Rayuan dapat dijalankan seperti yang dijadualkan sebelum ini iaitu pada Rabu dan Khamis ini.

Anwar mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Disember tahun lalu yang menolak permohonan keduanya itu yang bersandarkan kepada akuan berkanun (SD) bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim .

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Aziah Ali sebulat suara memutuskan, permohonan tersebut langsung tidak mempunyai sebarang merit dan hanya bersandarkan kepada akuan berkanun Mat Zain yang bersifat dengar cakap (hearsay).

Hakim tersebut turut menyatakan, akuan berkanun terbabit merupakan satu perkara yang remeh dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan rayuan kes liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Selain itu, panel hakim tersebut menyatakan, terdapat kecacatan tersembunyi dalam akuan berkanun terbabit iaitu percanggahan identiti pembuat SD berkenaan iaitu nombor kad pengenalan dan alamat telah dipadamkan.

Cubaan kali kedua untuk menggugurkan Muhammad Shafee dilakukan oleh Anwar setelah usaha kali pertamanya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 17 September 2013 dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 21 November tahun sama.

Permohonan pertama Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee adalah berdasarkan kelayakan pelantikan beliau dan atas alasan wujud percanggahan kepentingan kerana peguam terkenal itu dikatakan menjadi saksi penting dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar.

Pihak pendakwaan pula mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan tersebut.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berusia 67 tahun itu didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Pada 9 Januari tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah membebaskan Datuk Seri Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di kondominium Bukit Damansara.

Pembebasan itu adalah daripada kesilapan teknikal yang telah dilakukan oleh pihak pendakwa ketika itu yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang akhirnya memasuki tim peguambela Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun pendakwaraya yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafie, mengemukakan rayuan bagi menolak keputusan berkenaan.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.