Monday, March 17, 2014

Benarkah Ada Pihak Berpesta Sakan Bila Pesawat MH370 Hilang?


ADA pihak nampaknya berpesta sakan dengan tragedi pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu. Bayangkan dalam tiada isu pun mereka boleh reka cipta kontroversi, inikan pula kehilangan 239 penumpang pesawat itu masih belum ada apa-apa jawapan. Yang ada hanya andaian dan teori.

Kehilangan MH370 menjadi bahan kempen untuk menyerang pihak berkuasa. Di pentas politik, politikus pakatan pembangkang bernafsu sekali mengulas isu ini walaupun hanya berbekalkan maklumat dengar cakap. Kebetulan pula ada pilihan raya kecil, pentas strategik untuk terus menyemarakkan rasa benci kepada kerajaan.

Untuk menghingar-bingarkan lagi keadaan, kehilangan pesawat ini dikait-kaitkan pula dengan isu rasuah, pembaziran dan kepemimpinan negara. Sungguh! Politikus cacau masih banyak di negara ini dan malangnya, dibiarkan pula untuk terus berkuasa.

Dalam media sosial, gerombolan antikerajaan tidak sedikit pun meninggalkan ruang untuk melahirkan rasa sedih, simpati dan sokongan kepada pasukan mencari dan menyelamat. Mereka memilih untuk terus mencerca dan mengecam pihak berkuasa. Entah apa yang sudah tersumbat dalam minda mereka.

Dalam menghadapi kehilangan pesawat MH370 ini, tidak pernah berlaku dalam sejarah yang menggabungkan aset, teknologi ketenteraan dan intipan serta kepakaran awam terbaik dunia dalam satu operasi intensif sebegini.

Daripada Laut China Selatan, operasi mencari dari hari ke hari diperluaskan ke Selat Melaka, Laut Andaman dan kini di kawasan seluas Lautan Hindi. Pegawai tentera dari AS sendiri mengakui kehebatan Malaysia dalam mengendalikan operasi bersama ini yang tentu sekali rumit kerana melibatkan banyak negara dan aset.

Operasi dilakukan serentak menggunakan 48 pesawat, 57 kapal dari 14 buah negara. Aset dan teknologi yang digunakan dalam operasi ini disifatkan tercanggih. Data daripada teknologi satelit, radar dan sonar di langit, darat dan laut kemudian dianalisis bersama.

Sebut apa sahaja kepakaran dan teknologi terbaik dunia yang tidak disertakan dalam misi sukar ini. Daripada negara kuasa besar Amerika Syarikat, United Kingdom sehinggalah negara jiran Vietnam bertungkus lumus tanpa jemu cuba mengesan pesawat yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.

Daripada peringkat operasi awal lagi, kerajaan menegaskan demi menjejaki 227 penumpang dan 12 anak kapal MH370, Malaysia bersikap terbuka dengan berkongsi maklumat radar milik Angkatan Tentera Malaysia. Walau bagaimanapun beberapa maklumat sulit ini tidak boleh dikongsi kepada umum dan digunakan untuk tujuan siasatan sahaja.

"Kami meletakkan kepentingan negara di tempat kedua dalam usaha mencari pesawat yang hilang itu," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa memantau dan memberi arahan dari semasa ke semasa. Beliau sendiri turut menangguhkan lawatan kerjanya ke Mauritius, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar.

Mereka yang berasa kerajaan menyembunyikan sesuatu sehingga menyebabkan pesawat MH370 ini sukar ditemukan sebenarnya telah melakukan kesilapan. Mereka yang memperlekehkan keupayaan aset negara termasuk radar ketenteraan juga sepatutnya menarik balik kata-kata mereka.

Memang radar utama tentera ada mengesan objek terbang rendah merentasi Semenanjung pada pagi Sabtu itu. Tidak ada tindakan segera diambil kerana tiada ancaman keselamatan tetapi daripada maklumat itu, operasi mencari MH370 segera diperluaskan ke Selat Melaka.

Hanya semalam disahkan kepada umum bahawa objek itu ialah pesawat MH370. Pengesahan lambat dibuat kerana data itu perlu dianalisis bersama dengan data satelit yang diperoleh dari penyelia perkhidmatan. Yang penting dari segi keselamatan, objek itu tidak mengancam keselamatan.

Jadi apa yang boleh disembunyikan? Agak mustahil boleh dilakukan kerana operasi ini disertai oleh negara-negara yang kita tahu mempunyai keupayaan teknologi intipan yang begitu canggih. Lebih-lebih lagi apabila demi 227 penumpang dan 12 anak kapal MH307, Malaysia telah membuka dirinya untuk aset-aset tentera dan intipan dari negara asing.

Yang masih disembunyikan daripada terobosan teknologi ciptaan manusia ialah kedudukan sebenar pesawat ini. Selepas lapan hari, daripada analisis data satelit dan radar, dua koridor baharu dikenal pasti iaitu utara Thailand ke Kazakhstan atau selatan dari Indonesia ke Lautan Hindi. Daripada maklumat yang telah disahkan itu didapati pesawat tidak mungkin hilang di kawasan Laut China Selatan.

Sebagaimana komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh kerajaan Malaysia, satu hari nanti pasti MH370 akan ditemukan dan sekali gus merungkai segala misteri. Janji sudah diikrarkan bahawa operasi tidak akan dihentikan selagi pesawat ini tidak ditemui.

Tiada istilah putus asa, kecewa bahkan rasa penat ditunjukkan pihak berkuasa Malaysia untuk terus mencari MH370 walaupun menerima banyak kritikan dan kecaman. Mereka sentiasa fokus dan tahu dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Bukan sekadar mampu menggabungkan kepakaran dunia, Malaysia juga telah menggerakkan usaha untuk memohon doa dan melakukan solat hajat di surau, masjid, lapangan terbang bahkan di kapal yang menyertai misi sukar ini.

Setakat ini, kerajaan telah melakukan tugasnya dengan baik. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, wakil Jabatan Penerbangan Awam, MAS, tentera dan polis sentiasa cekal, cekap dan tenang semasa memberi gambaran kepada umum tentang insiden yang masih misteri ini 


- ZULKEFLI HAMZAH

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.