Wednesday, March 19, 2014

Haron Din Sokong Tindakan Kerajaan Uruskan Pencarian Pesawat MH370


“Ada kata pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Yang memikul tugas ini adalah kerajaan dan saya secara jujur mengatakan kerajaan telah melakukan segalanya,” kata Datuk Dr Haron Din 

Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din mempertahankan kerajaan dan Penerbangan Malaysia (MAS) dengan menegaskan bahawa kerajaan telah melakukan yang terbaik dalam usaha mengesan pesawat MH370.

Sebagai umat Islam kita kena berbalik kepada Alquran dan percaya bahawa kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Kita jangan terus menyalahkan sesiapa dalam hal ini adalah lebih baik kita terus berdoa kepada Allah agar pesawat MH370 dapat dijumpai dengan segera, katanya lagi

Kenyataan Haron itu dibuat susulan kritikan melulu oleh Naib Presiden PAS Mahfuz Omar dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kerajaan dalam menangani tragedi yang berlarutan sejak 11 hari lalu.

Pesawat Boeing 777-200ER yang sedang dalam penerbangan ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 12.41 pagi, 8 Mac lalu.

Anwar dan Mahfuz memperlekehkan usaha kerajaan dalam menangani krisis itu dalam ceramah-ceramah mereka sempena pilihan raya kecil Kajang.

Dr. Haron Din kemudiannya menasihatkan rakyat negara ini khususnya keluarga penumpang penerbangan itu menyerahkan perkara itu kepada Allah SWT.

“Tetapi segala-galanya itu masih lagi ada persoalan, segala yang terdaya oleh kita dalam menghadapi suasana tempat, masa dan keadaan yang kesemuanya kita rujuk kepada alam kebendaan.

“Kita tidak pernah terfikir apakah mungkin alam ini hanya ada alam benda atau nyata? Ada alam dunia sahajakah atau ada alam lain?,” katanya.

Justeru pengamal perubatan Islam ini tidak menolak sekiranya pesawat tersebut ‘termasuk’ ke alam lain.

“Saya sekadar bertanya adakah kita lupa atau tak mahu mengambil kira alam ghaib dari maksud perlu ada kemampuan serta kebolehan untuk kita menembusi, mencari dan mengenali alam ghaib.

“Ini hanya berlaku apabila alam nyata tidak dapat menjawab bila alam yang kita lihat dengan mata tidak dapat menjawab, mungkin alam ghaib boleh menjawabnya” katanya.

Menurut Haron Din, banyak persoalan timbul ekoran kehilangan pesawat itu yang secara tiba-tiba hilang daripada radar selain gagal dihubungi.

“Hilang daripada pandangan, besar kemungkinan ia termasuk ke dalam alam ghaib” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.