Monday, March 10, 2014

Isma Kata Anwar Cipta Konspirasi Kajang Untuk Tarik Rakyat Ke Jalan Raya

Ceramah Reformasi sedang berlaku di Kajang

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang yang bakal berlangsung pada bulan ini merupakan konspirasi ciptaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bagi mengalih perhatian rakyat untuk kembali turun ke jalan raya bagi menghidupkan gelombang Reformasi Ke-2.

Menurut Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman, sejak awal lagi pihaknya tidak bersetuju dengan peletakan jawatan bekas ADUN Kajang Lee Chin Cheh tanpa alasan yang munasabah.

“Anwar tahu perjalanan perbicaraan kes liwat sejak awal-awal lagi lalu beliau mereka cipta PRK Kajang dengan alasan yang tidak munasabah.

“Kini apabila beliau didapati bersalah, seluruh perhatian rakyat dialihkan kepada kezaliman pemerintah yang kononnya mahu menyekat beliau daripada menjadi MB selangor,” kata Ustaz Abdullah

Ustaz Abdullah juga mempertikai kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa mahkamah tidak berlaku adil ke atas Anwar.

“Bila Anwar kalah, mahkamah dituduh zalim dan tidak adil. Mengapa semasa Anwar menang pada 2011 dahulu mahkamah tidak dituduh zalim juga? Tidak logik,” ujar beliau.

Tambahnya, jalan cerita ‘langkah Kajang’ yang bakal membawa Anwar ke Putrajaya menjadi sempurna apabila keputusan mahkamah dikaitkan dengan persepsi bahawa ia merupakan konspirasi UMNO.

“Dengan itu keputusan mahkamah dituduh sebagai konspirasi UMNO untuk sekali lagi memberi imej bersih kepada Anwar dan sekali lagi mengeksploitasi isu beliau ke jalan raya.

“Demikian sempurna jalan cerita bagaimana ‘langkah Kajang’ boleh membawa Anwar ke Putrajaya,” katanya lagi.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.