Friday, March 7, 2014

Kes Nizar Akan Dibicara Semula Sebab Hakim Merupakan Calon Pas 2004


Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3) memfailkan permohonan agar Mahkamah Rayuan menyemak semula keputusannya yang mendapati stesen televisyen itu bertanggungjawab memfitnah bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membabitkan tweet beliau berkaitan nombor pendaftaran kenderaan WWW1 yang berjaya dibida Sultan Johor.

Notis usul itu, yang disokong afidavit Pengarang Urusan Kumpulan Rangkaian TV Media Prima Berhad Datuk Mohd Ashraf Abdullah, difail di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini oleh Tetuan TH Liew & Partners.

Pada 25 Februari lepas, panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan rayuan Mohammad Nizar dan memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi selepas memutuskan TV3 bertanggungjawab memfitnah beliau.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah RM50 juta Mohammad Nizar terhadap TV3 berhubung komen beliau berkaitan nombor pendaftaran yang berjaya dibida pada jumlah RM520,000 oleh Sultan Johor pada Mei 2012.

Dalam saman itu, Mohammad Nizar menamakan TV3 dan penerbit Buletin Utama Rohani Ngah sebagai defendan.

Notis usul TV3 itu memohon agar keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Februari lepas, yang memihak kepada Mohammad Nizar, diketepi atas alasan kegagalan kuorum keranan seorang daripada anggota panel yang bersidang sepatutnya menarik diri daripada mendengar kes berkenaan berikutan pembabitan serta hubungan beliau dengan parti Pas.

TV3 mendakwa kehadiran hakim berkenaan dalam panel itu menimbulkan kemungkinan terdapat bahaya berat sebelah.

Stesen televisyen berkenaan juga memohon agar rayuan itu didengar dan diputuskan semula oleh panel Mahkamah Rayuan lain.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.