Wednesday, March 5, 2014

Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan, Comanggo dan NGO Islam cuba rempuh pintu mahkamah


Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan permohonan gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitannya sebelum ini yang memutuskan Kementerian Dalam Negeri mempunyai hak mengharamkan penggunaan perkataan itu dalam Herald.

Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria menangguhkan keputusan itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

Sementara itu di luar mahkamah, kira-kira 1,500 peserta perhimpunan yang kebanyakannya terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam hari ini cuba merempuh masuk ke Istana Kehakiman kira-kira jam 11.15 pagi tadi.

Pegawai mahkamah berkata, pendaftar Mahkamah Persekutuan akan memberitahu pihak yang terlibat bila hakim akan memberikan keputusannya.

Tujuh hakim mahkamah bersidang mendengar permohonan daripada gereja itu.

Selain Ariffin, mereka adalah Tan Sri Raus Sharif, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Hwa.

Biasanya hanya lima hakim yang mendengar kes seperti itu.

Sebelum ini, hanya dua kali tujuh hakim bersidang serentak iaitu kes pengedaran dadah yang melibatkan prinsip undang-undang.

Gereja menyerahkan 26 soalan tentang perlembagaan, pentadbiran undang-undang dan kuasa mahkamah untuk mempertikaikan keputusan Kementerian Dalam Negeri daripada menyekat penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald.

Semua persoalan ini adalah sebahagian permohonan yang difailkan oleh peguam gereja bagi meminta Mahkamah Persekutuan membenarkan mereka mencabar keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan perkataan Allah.

Peguam, Datuk Dr Cyrus Das, yang mewakili gereja berkata, mahkamah perlu mendengar merit kes itu kerana Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang berkaitan perlembagaan dan isu pentadbiran undang-undang.

"Keputusan Mahkamah Rayuan menyebabkan kekeliruan dalam isu Allah yang mengaitkan 1.6 juta Bumiputra Kristian di Sabah dan Sarawak," katanya.

Katanya, menteri membuat kenyataan yang bercanggah susulan daripada keputusan Mahkamah Rayuan itu.

"Terutama sekali, keputusan itu juga mengaitkan hak minoriti termasuk Sikh dan Bahai yang menggunakan perkataan Allah," kata Das sambil menambah masyarakat antarabangsa juga sedang memerhatikan kes ini.

Katanya, tidak jelas dari mana pihak kementerian mendapat hak untuk menyekat perkataan itu.

"Seorang hakim Mahkamah Rayuan berkata, menteri mempunyai kuasa mutlak tetapi mahkamah berhak menimbangkan semula keputusan itu," katanya.

Seorang lagi peguam kepada gereja, Fabian Dawson, berkata masyrakat Kristian di kawasan ini menggunakan nama Allah sejak 1894.

Pendakwa Raya kanan, Suzana Atan, berkata menteri melaksanakan sekatan ini dengan niat baik untuk keselamatan negara.

"Kami memohon supaya permohonan ini ditolak kerana Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu berdasarkan menteri mematuhi kandungan Akta Mesin Cetak dan Penebitan," katanya.

Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam Terengganu berkata, bukan mahkamah yang perlu menilai isu berkaitan ketenteraman awam.

"Menteri sangat bimbang tentang tindak balas orang awam jika perkataan itu dibenarkan untuk digunakan oleh Herald," katanya sambil menambah pihak eksekutif tidak boleh memperjudikan isu keselamatan negara.

Peguam Mubashir Mansor, yang mewakili Majlis Agama Islam Kuala Lumpur dan Selangor berkata, Allah bukan sebahagian daripada ajaran Kristian.

"Bible yang asal dalam bahasa Hebrew dan Greece. Teks Bahasa Melayu hanya terjemahan yang mungkin salah jika nama Allah digunakan," katanya.

Katanya, Allah adalah perkataan Arab yang digunakan oleh Kristian.

Pada 14 Oktober lalu, tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Apandi Ali membenarkan rayuan Putrajaya menyekat Herald daripada menggunakan perkataan Allah.

Apandi dalam penghakimannya berkata, ia bertujuan menjaga kesucian Islam dan menyekat kekeliruan di kalangan umat Islam.

Keputusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan Kristian dan bukan Islam di seluruh negara.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.