Friday, April 4, 2014

Harapan Untuk Mengesan Kotak Hitam Semakin Tipis


Kapal Tentera Laut Diraja Australia, Ocean Shield, yang dilengkapi dengan alat pengesan kotak hitam yang dibekalkan dari Amerika Syarikat, dijadual tiba di zon pencarian pesawat MH370 hari ini.

Hampir sebulan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia yang membawa 239 orang itu dengan pihak berkuasa masih tiada petunjuk sebab kehilangannya, kecuali dengan penemuan kotak hitam pesawat yang boleh meleraikan misteri berkenaan.

Namun, pegawai yang terbabit dalam operasi mencari memberi amaran tanpa lokasi tepat di mana pesawat itu menamatkan penerbangannya di selatan Lautan Hindi, harapan menemui kotak hitam juga semakin tipis.

Malah, operasi mencari kotak hitam kini terpaksa berlumba dengan masa apabila isyarat yang menggunakan kuasa bateri pada kotak hitam hampir berakhir beberapa hari lagi.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini berdepan tempoh kritikal kerana jangka hayat bateri kotak hitam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dicari hanya tinggal dua hari.

Kotak hitam berkenaan yang kini dipercayai berada di selatan Lautan Hindi memancarkan isyarat ping bertujuan membantu mengesan kedudukan.

Bagaimanapun isyarat itu akan menjadi lemah apabila tempoh hayat bateri kotak hitam itu berkurangan dalam tempoh dua hari lagi.

Operasi akan menjadi lebih sukar sekiranya kotak hitam itu mula berhenti memancarkan isyarat.

Penemuan kotak hitam penting bagi merungkai misteri mengapa penerbangan pesawat itu tiba-tiba melencong dari laluan asal pada awal pagi 8 Mac lalu.

Pakar memberitahu, meskipun berjaya mengesan serpihan pesawat, operasi mencari tetap mengalami kesukaran kerana ia mungkin telah dihanyutkan arus laut beratus-ratus kilometer jauhnya dari titik asal pesawat itu dikesan.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.