Monday, April 7, 2014

Isyarat Daripada Kotak Hitam Sudah Dikesan Hari Ini



Misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di Lautan Hindi sejak 8 Mac lalu mendapat petunjuk baharu apabila sebuah kapal China dan Australia mengesan isyarat dipercayai dari kotak hitam pesawat MH370.

Sebuah kapal China, Haixun 01 mengesan isyarat elektronik tersebut yang dipanggil ping di 25 darjah latitud selatan dan 101 latitud timur di selatan Lautan Hindi.

Isyarat itu dikesan pada Jumaat lalu dan sekali lagi dikesan tengah hari kelmarin.

Sebuah pesawat China turut mengesan beberapa objek putih di satu lokasi kira-kira 90 kilometer dari isyarat dikesan.

Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia, Angus Houston menyifatkan dua isyarat baharu yang dikesan pada Isnin adalah 'petunjuk paling meyakinkan' setakat ini dalam misi pencarian MH370.

Houston berkata, pasukan itu kini memulakan pencarian di dasar laut yang kini difokuskan kepada kawasan dimana isyarat berjaya dikesan.

"Alat pengesan 'Towed Pinger Locator' (TPL) yang dikerahkan dari kapal pertahanan Australia Ocean Shield telah mengesan isyarat konsisten yang dipancarkan dari kotak hitam pesawat.

"Kami masih belum menjumpai pesawat tersebut, kami perlu mendapatkan pengesahan lanjut.

"Ia memerlukan sedikit masa sebelum maklumat dapat disediakan untuk menentukan sama ada isyarat itu disahkan datang dari pesawat MH370," katanya.

Secara keseluruhannya, sembilan pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 14 kapal menyertai operasi pencarian pada Isnin.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.