Monday, April 14, 2014

Pengarah Titanic Jelaskan Proses Mencari Pesawat MH370 Didasar Laut


Pengarah filem terkenal James Cameron berkata beberapa peralatan yang boleh beroperasi sehingga kedalaman laut sekitar 4000 sehingga 5000 meter akan digunakan, sekiranya isyarat ping yang diterima sah menunjukkan ianya adalah dari kotak hitam pesawat MH370 yang hilang.

Cameron berkata demikian dalam menerangkan bagaimana mencari pesawat MH370 (cara beliau), bagi menjawab salah satu soalan yang diajukan kepadanya di laman web Reddit Ask Me Anything (AMA).

Cameron yang merupakan penerbit, penulis kepada beberapa filem seperti Avatar, Titanic, Terminators 1 dan 2, dan Aliens juga merupakan seorang peneroka laut dalam dan pecinta alam sekitar.

Mengenai bagaimana mencari pesawat MH370 itu, Cameron berkata jika isyarat ping yang diterima sah menunjukkan ianya dari kotak hitam pesawat, maka pasukan pencarian perlu melancarkan apa yang dipanggil ‘searching box’ atau kawasan pencarian.

“Langkah seterusnya adalah dengan menggunakan kenderaan dasar laut dalam (AUV) untuk pergi sehingga 400 atau 500 kaki dari dasar laut, dan lakukan ‘pengimbasan sonar’ ke atas dasar laut tersebut” katanya.

Menurut Cameron, proses pengimbasan akan mengambil masa berhari-hari atau berminggu-minggu, dan kemudian analisis akan mula dilakukan.

“Analisis akan dibuat ke atas apa sahaja penemuan ganjil yang ditemui di dasar laut, seperti sesuatu yang tidak rata berkemungkinan batu, geologi, atau serpihan pesawat.

“Setelah ada sasaran yang telah dikenalpasti dan tahu kedudukannya di dasar laut, kenderaan akan naik semula ke permukaan laut dan menurunkan sebuah kenderaan kawalan jauh (ROV) ke kawasan disasarkan” tambahnya lagi.

ROV akan diturunkan dengan kabelnya diikat di kapal dan kamera video digunakan bersama dalam merakam imej di sana.

“Anda akan dapat melihat dengan jelas menggunakan kamera video dan seterusnya mengenalpasti sama ada sasaran adalah pesawat yang dicari.

“Begitulah cara bagaimana mencari pesawat MH370” terangnya panjang lebar dalam laman web tersebut.

Namun kata Cameron, kesemua langkah ini bergantung kepada sekiranya isyarat ping tersebut sememangnya datang dari kotak hitam pesawat dan bukan dari sumber lain.

Dalam Reddit AMA, Cameron turut menjawab persoalan mengenai beberapa perkara seperti Leonardo DiCaprio, Terminator dan siri dokumentari pembuatan filem, Years of Living Dangerously.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.