Friday, April 11, 2014

Petunjuk rungkai lokasi kotak hitam


Lokasi berakhirnya dua isyarat akustik yang dikesan pada Sabtu lalu, disifatkan seorang pakar tempatan, sebagai petunjuk penting untuk merungkai kedudukan kotak hitam pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) di dasar Lautan Hindi.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Omar Kassim Ariff, yakin lokasi berakhir isyarat terbabit berada pada kedudukan paling hampir dengan pusat anggaran, berbanding isyarat akustik ketiga dan keempat.

Beliau berkata, lokasi isyarat pertama berakhir berada kira-kira 8.2 kilometer, manakala isyarat kedua berakhir terletak 3 kilometer dari anggaran pusat lokasi kotak hitam yang dijangka berada.

“Walaupun isyarat dikesan Towed Pinger Locator (TPL) yang ditunda kapal Ocean Shield itu akhirnya hilang, ia konsisten kerana dalam lingkungan pusat anggaran,” katanya kepada BH, semalam.

Omar menganggar lokasi itu berdasarkan kaedah statistik dengan mengambil kira empat isyarat akustik yang dikesan Ocean Shield.

Perkiraan itu tidak menggunakan fungsi linear, iaitu garisan lurus untuk mengkaji kaitan setiap petunjuk sebagai panduan, sebaliknya dengan menghasilkan bulatan melalui isyarat akustik pertama, ketiga dan keempat.
Aktifkan dron

Mengulas kawasan pencarian MH370 paling kecil pernah direkodkan semalam, beliau berkata, Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC) perlu menentukan sama ada untuk kekal menggunakan TPL bagi mengesan lebih banyak isyarat akustik atau mengaktifkan penggunaan dron laut dalam, Bluefin-21.

Isyarat akustik yang dikesan TPL di luar lingkungan pusat anggaran hanya menjejaskan perjalanan operasi mencari, selain berdepan kemungkinan bateri ULB pada dua unit kotak hitam, iaitu Perakam Data Penerbangan (FDR) dan Perakam Suara Kokpit (CVR) kehabisan kuasa.

“Keluasan operasi mencari kini bersesuaian untuk mula menggunakan sonar sisi pada Bluefin-21 dan melakukan pemetaan dasar lautan, sekali gus menentukan lokasi tepat kotak hitam,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.