Wednesday, April 23, 2014

Selangor minta tambahan RM5.9 juta untuk bayar kenaikan gaji MB dan Exco



Kenaikan gaji, elaun dan bonus pentadbiran tertinggi Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor sejak Januari tahun ini membabitkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM5.9 juta.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika membentangkan Enakmen Perbekalan Tambahan 2014, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Abdul Khalid menjelaskan, kerajaan negeri bagaimanapun setuju memotong sedikit gaji Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker DUN sejak Januari 2014.

Ekoran itu, gaji Menteri Besar menjadi RM14,175.15 daripada RM29,250.00

Gaji Exco yang sepatutnya berjumlah RM20, 250 pula dipotong sebanyak RM5,250 menjadi RM15,000.

Sementara gaji Speaker dipotong sebanyak RM7,500 menjadi RM15,000 manakala Timbalan Speaker menjadi RM12,000 setelah dipotong sebanyak RM3,750.

“Saya bersetuju sebab saya rasa bertanggungjawab ke atas kenaikan gaji ini sehingga Parlimen naikkan gaji yang sesuai, saya masih gaji yang lama,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kenaikan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikekalkan pada RM11,250.

Oleh itu kerajaan negeri ada lebihan wang sumbangan kerajaan Persekutuan daripada pemotongan gaji itu katanya.

Dalam pada itu, Khalid turut menasihatkan beberapa ADUN PKR yang didapati tidak menghadiri sidang pada Jumaat lalu agar tidak terus berbuat demikian.

Jumaat lalu, beberapa ADUN PKR termasuk Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa), Dr Xavier Jayakumar (Sri Andalas), Suhaimi Shafie (Seri Muda) dan Yaakob Sapari (Kota Anggerik) didapati tidak hari sesi penggulungan ucapan titah Diraja DUN.

Ketidakhadiran mereka dipercayai kerana menghadiri sesi menjelajah beberapa negeri di utara semenanjung bagi tujuan berkempen untuk pemilihan PKR yang akan berlangsung Mei ini.


0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.