Sunday, April 13, 2014

Sikap ‘berlembut’ disalah guna pendatang asing


Undang-undang lebih tegas perlu bagi elak kebanjiran PATI di Sabah

Setiap kali berlaku penculikan di Sabah, isu pendatang asing dibangkitkan. Semua pihak bagai tersentak dan terjaga dari lena, lantas segera menjalankan operasi bersepadu untuk menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) serta majikan yang ingkar. Bagi mereka yang pernah ke Sabah, pasti biasa terserempak dengan pendatang asing dari Filipina dan Indonesia.

Ada daripada mereka terbabit dalam aktiviti ekonomi tak formal seperti menjadi pelacur, pengangkut barang, menjual di warung, penjaja, penjual akhbar dan pencuci kasut. Mereka sukar dibezakan dengan penduduk tempatan kerana cepat menyesuaikan diri dalam masyarakat termasuk dari segi bahasa dan budaya. Isu ini serius kerana sudah berakar umbi di negeri berkenaan.

Dari segi sejarah, sekitar 70,000 pelarian dari selatan Filipina lari ke Sabah ekoran perisytiharan darurat di bawah pemerintahan Ferdinand Marcos pada tahun 1972. Sejak awal, pelbagai agensi menggembleng tenaga untuk mencegah dan mengawal kemasukan pendatang, namun segala usaha itu bagai mencurahkan air ke daun keladi. Antara langkah yang diambil ialah program pengampunan, mendaftarkan pendatang tanpa izin, program pemutihan dan ops bersepadu.

Tingkat tahap keselamatan

Malah, selepas berlakunya peristiwa Sipadan dan Pandanan pada tahun 2000, kerajaan membelanjakan RM6 bilion untuk meningkatkan keupayaan ketenteraan dan keselamatan khususnya di kawasan perairan dan pesisiran Sabah. Langkah drastik diambil untuk meningkatkan tahap keselamatan, termasuk membina pangkalan tentera laut di Sepanggar, menambah jumlah radar untuk mengawasi pantai timur dan melaksanakan penggunaan biometrik.

Dalam peristiwa penculikan di Sipadan pada 23 April 2000, enam anggota Abu Sayyaf bersenjatakan AK-47 dan M16 menawan 10 pekerja tempatan dan 11 pekerja asing di pusat peranginan di Pulau Sipadan. Dalam kejadian itu, dua pelancong Amerika berjaya menyelamatkan diri apabila terjun ke laut. 

Penculik mengemukakan beberapa tuntutan termasuk meminta agar wilayah di selatan Filipina diberi kuasa autonomi dan wang tebusan AS$1 juta bagi setiap tebusan. Dalam kes berkenaan, dikatakan RM57 juta dibayar kepada kumpulan terbabit bagi membebaskan 20 orang tebusan. Adakah kita tidak pernah belajar daripada sekian banyak kes penculikan sebelum ini?

Dalam kita dibelenggu kes penculikan di Singamata Reef Resort, Semporna, membabitkan pelancong China dan seorang pekerja Filipina, kita tidak seharusnya lupa kes penculikan di Pulau Pidanan pada tahun 2000, di Lahad Datu pada tahun 2003 dan kes di Pulau Taganak pada tahun 2004.

Pada waktu yang sama, langkah mengusir pendatang asing tanpa izin terus dilakukan, dengan perbelanjaan yang bukan sedikit. Penyelesaian melalui tindakan diplomatik juga diambil termasuk pegawai kementerian terbabit berkunjung ke Manila, bagi memastikan penghantaran balik warga Filipina dapat berjalan dengan lebih lancar.

Salah guna program pengampunan

Mengapakah kita bagai menemui jalan buntu dalam isu ini? Adakah kita menghantar isyarat yang salah apabila sering melancarkan program pengampunan sehingga pendatang terbabit bersikap endah tak endah kerana tahu kerajaan akan memberi peluang kepada mereka sekali lagi? Benarkah sikap tidak tegas kerajaan terhadap majikan yang melanggar peraturan menjadi punca?

Dalam keadaan demikian, majikan sering mengeksploitasikan pekerja terbabit, misalnya membayar gaji rendah atau tidak membayar gaji langsung, apatah lagi sebahagian mereka berpendidikan rendah dan pekerja tidak mahir. Dengan tujuan memperbaiki taraf hidup, golongan ini dianggap lebih rajin, bersungguh-sungguh dan tahan lasak, berbanding anak tempatan.

Mereka lebih bersedia melakukan pekerjaaan yang dianggap berbahaya, kotor, sukar dan mencabar, termasuk di tengah panas serta persekitaran sukar dan mencabar di ladang. Dengan latar belakang demikian, mereka tidak kisah tentang jenis pekerjaan dan gaji yang diterima kerana bagi mereka, yang penting mereka dapat menghantar wang ke kampung dan seterusnya memperbaiki keadaan hidup diri dan keluarga.

Hakikatnya, mereka memberi sumbangan tenaga dalam pelbagai sektor seperti perladangan, pembinaan, pembalakan dan perkhidmatan. Mereka membantu dalam merangsangkan ekonomi domestik Sabah.

Mereka juga memberi sumbangan kepada KDNK negara masing-masing. Dalam apa keadaan pun, kita perlu memastikan Sabah sentiasa selamat daripada ancaman keselamatan terutama penculikan, kerana ia menjejaskan imej Sabah di mata dunia. Kedaulatan dan keselamatan Sabah perlu sentiasa dipelihara dan dipertahankan.- 
Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.