Saturday, April 5, 2014

Terkini: Kapal China kesan isyarat pelik dari laut


Sebuah kapal peronda China, Haixun mengesan isyarat getaran dengan frekuensi 37.5 kHz di kawasan carian pesawat penerbangan MH370 di selatan Lautan Hindi, lapor agensi berita Xinhua.

Sebuah syarikat pengeluar 'pinger' memberitahu CNN, frekuensi itu adalah isyarat yang standard daripada kotak hitam atau secara khusus perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan.

"Frekuensi itu sama," kata Anish Patel, presiden syarikat Dukane Seacom kepada CNN.

Penemuan terbaru ini bagaimanapun belum disahkan oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama di Perth yang menyelaraskan gerakan mencari pesawat Malaysia Airlines itu di selatan Lautan Hindi.

Pakar bagaimanapun mengingatkan isyarat itu mungkin boleh jadi datang daripada benda lain selain daripada pesawat.

Menurut laporan AFP, carian kapal Cina Haixun 01 mengesan denyutan berkenaan kira-kira 25 darjah latitud selatan dan 101 darjah longitud timur.

"Denyutan yang dikesan oleh Haixun 01 masih belum dikenal pasti lagi," kata Pusat Maritim Mencari dan Menyelamat China dalam akaun microblog mereka.

Menteri Pertahanan Australia David Johnston berkata beliau tidak menerima laporan mengenai isyarat berkenaan dan memberi amaran ia mungkin bukan dari pesawat MH370.

"Ini bukan kali pertama kita mempunyai sesuatu yang kemudian menjadi sesuatu yang mengecewakan," katanya kepada televisyen ABC.

"Saya hanya akan menunggu (Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama) Angus (Houston) dan pasukan beliau dan pasukan saya untuk tampil ke hadapan dengan sesuatu yang positif kerana ini adalah tugas yang sangat sukar."

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.