Tuesday, April 8, 2014

Tidak Pushati Isu tanah Kebun Warga emas berang lepaskan tembakan



Seorang lelaki warga emas diberkas polis kerana melepaskan sedas tembakan menggunakan senapang patah kerana dipercayai berang dengan abang iparnya berhubung isu tanah kebun kelapa sawit.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang Jumaat lalu, suspek berusia 61 tahun dipercayai bertengkar dengan abang iparnya yang berusia 71 tahun membabitkan isu tanah sebelum melepaskan tembakan ke udara.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian bertindak ke kebun kelapa sawit berkenaan dan menahan suspek serta merampas selaras senapang patah bersama tiga peluru penabur dan satu kelongsong peluru.

“Ketika kejadian terdapat seorang saksi kejadian berusia 50-an yang juga pekerja kebun sawit berkenaan dan hasil siasatan polis mendapati suspek dan abang iparnya bertengkar kerana salah faham berhubung isu tanah kebun kelapa sawit.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan suspek ditahan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api, serta direman sehingga hari ini (semalam) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek mempunyai lesen sah untuk senjata api dimiliki itu dan kertas siasatan berhubung kes terbabit sudah diserahkan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut serta proses pendakwaan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun dan polis ingin menasihatkan orang ramai terutama mereka yang mempunyai senjata api supaya tidak menggunakannya secara salah kerana mereka bakal berdepan hukuman berat sekiranya menggunakan senjata berkenaan secara menyalahi undang-undang,” katanya.

2 comments:

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.