Tuesday, May 13, 2014

Mat Said Kecewa Dengan Keputusan Najib Punca Beliau Keluar Umno




Terengganu berdepan dengan kebuntuan politik selepas Datuk Seri Ahmad Said dan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno keluar parti beberapa jam selepas bekas menteri besar itu meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman semalam.

Tindakan Adun Kijal itu bersama Adun Ajil, Ghazali Taib meninggalkan Umno dan menjadi bebas menyebabkan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) mempunyai jumlah kerusi sama dengan Pakatan Rakyat (PR) iaitu 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap gabungan dalam DUN yang mempunyai majoriti 32 kerusi – pertama kali dalam sejarah Malaysia.

Ahmad yang mula menjadi MB pada 2008 juga berkata lebih ramai Adun Umno akan keluar parti tidak lama lagi – menambahkan lagi tekanan politik kepada presiden parti Datuk Seri Najib Razak yang diserang kerana kelemahan kepimpinannya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.


"Insya-Allah ada lagi," katanya dipetik daripada portal berita Malaysiakini.

Ahmad dan Ghazali meletakkan jawatan daripada parti pemerintah itu beberapa jam selepas Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai menteri besar, mengesahkan spekulasi dua menteri besar akan ditukar setahun selepas PRU13.

Difahamkan, Adun Kijal itu akan bertemu media hari ini untuk menjelaskan mengapa beliau keluar Umno.

Ahmad dilaporkan kecewa dengan keputusan Najib untuk menggugurkannya semalam.

"Saya sudah lama bekerja dengan Umno. Saya sudah beritahu PM kenduri kahwin anak saya pada 17 Mei dan tukar selepas  selesai kenduri.

"PM kata itu soal peribadi. Jadi saya beritahu, kalau saya keluar (parti), jangan salahkan saya," katanya Ahmad Said.

Dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu, BN menang 17 kerusi DUN berbanding PR 15 kerusi dan mendapat separuh daripada 8 kerusi Parlimen di negeri yang kaya dengan minyak itu.

Adun Seberang Takir, Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai menteri besar Terengganu di depan Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di Cendering pada jam 9.25 malam semalam.

Pelantikannya dilakukan beberapa jam selepas Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan Ahmad sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai menteri besar.

Secara konvensyennya, kebanyakan ahli politik menandatangani surat peletakan jawatan undur tarikh sebelum memegang jawatan di Malaysia.

Ahmad yang mengawal sesetengah pecahan dalam Umno Terengganu mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada Mac 2008, walaupun Umno memilih Datuk Seri Idris Jusoh.

Idris kini merupakan menteri pendidikan II dalam Kabinet Najib.

Tahun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut mereka tidak boleh campur tangan di Terengganu jika berlaku DUN tergantung disebabkan BN menang tipis.

Menurut SPR, terpulang kepada parti politik untuk menyelesaikan masalah itu. 

3 comments:

  1. MB baru will be from PAS. Razif will hold a record, a day MB.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Agree!!!!!! UMNGOK stupid!!!!

      Delete

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.