Sunday, June 22, 2014

Masyarakat Pagoh Kecam Blogger yang cetuskan Khabar Angin Mengenai Perletakkan Jawatan Tan Sri Muhyiddin


Penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tidak ada sebarang pengguguran membabitkan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin melegakan masyarakat Pagoh khususnya ahli Umno bahagian berkenaan.

Timbalan Ketua Umno bahagian Pagoh Ismail Mohamed berkata penjelasan itu sekaligus membuktikan laporan disebarkan laman blog dan media sosial berhubung pengguguran jawatan berkenaan sebagai satu cubaan untuk meretakkan hubungan baik kedua-kedua pemimpin negara.

"Datuk Seri Najib sendiri menjelaskan tidak ada langsung timbul mengapa timbalan perdana menteri perlu digugurkan. Ini jelas menunjukkan ia adalah usaha pembangkang yang mahu memecahkan gandingan baik antara kedua-dua pemimpin negara," katanya semasa berucap pada majlis penerangan mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Muar hari ini.

Ismail yang juga pengerusi jawatankuasa pertanian dan industri asas tani Johor bersyukur kerana masyarakat di kawasan Parlimen Pagoh tidak melatah apabila menerima khabar-khabar angin yang menyentuh pemimpin mereka sejak beberapa minggu lepas.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan masyarakat kawasan berkenaan supaya tidak mudah mempercayai laporan yang belum tentu mempunyai kebenarannya.

Sebelum ini, laman blog dan media sosial melaporkan kemungkinan Muhyiddin berundur bagi memberi perhatian kepada usaha memulihkan Umno.

Ia juga timbul berikutan desas-desus rombakan Kabinet yang mungkin dilakukan Perdana Menteri khususnya untuk membawa masuk pemimpin daripada parti komponen BN iaitu MCA dan Gerakan.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri selagi khidmatnya diperlukan dan memberitahu setakat ini tidak ada apa-apa perkara dibangkitkan berhubung kedudukannya itu.

Sebelum itu seorang pemimpin Umno telah menggelarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai 'paria'. Apa kesalahan Tan Sri Muhyiddin sehingga sanggup seorang Setiausaha penyelaras Barisan Nasional Bandar Tun Razak sanggup menggelar pemimpinnya sendiri sebagai paria.




0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.