Tuesday, June 24, 2014

Mitos: Punca Sang Kelembai Mengamuk


Sang Kelembai merupakan makhluk ghaib yang menghuni hutan tertentu di beberapa tempat di negara ini. Sesetengah tempat dipanggil Sang Gedembai.

Sang Kelembai dipercayai mempunyai kuasa sakti yang boleh menyumpah sesiapa sahaja menjadi batu. Sang Kelembai biasanya berada di dalam hutan dan pantang kepada bunyi bising ketika berada di dalam hutan. Jika Sang Kelembai tertarik dengan bunyi tersebut, Sang Kelembai akan menegur. Manusia atau binatang yang ditegur akan menjadi batu.

Ada yang mengatakan sang kelembai ini memiliki badan yang besar dan tinggi sehingga dipercayai mampu sampai ke Terengganu dari Kuala Tahan dengan hanya beberapa langkah. Tidak kurang juga yang mengatakan Sang Kelembai ini mampu terbang dan hanya memakan pucuk-pucuk buluh sahaja.

Di Jerantut misalnya, terdapat pelbagai cerita dari daerah yang berkaitan dengan Sang kelembai ini seperti kawasan tempat persinggahannya dan juga kesan-kesan sumpahannya yang dianggap sekadar mitos untuk mengaitkannya dengan sejarah sesuatu setempat.



Batu yang berbentuk gajah dikatakan salah satu daripada sumpahan Sang Kelembai.

Menurut seorang penduduk dan peminat sejarah lama Azmi Baharuddin, Sang Kelembai ini dikatakan berasal dari sebuah gunung dan tinggal dalam hutan yang terletak di Kuala Tahan serta turut mempunyai keluarga di sana,

Namun tidak pernah diketahui siapa isterinya dan berasal dari mana kerana hanya kisah Sang Kelembai dan anaknya sahaja yang sering diceritakan.

Ceritanya, Sang Kelembai mempunyai seorang anak lelaki, namun anaknya telah meninggal dunia akibat mabuk selepas memakan buah perah.

Kerana terlalu sedih dan marah dengan kematian anak lelaki kesayangannya, maka Sang Kelembai dikatakan mengamuk sebelum mencabut semua pokok buah perah di hutan Tembeling dan kononnya sebab itulah pokok perah tidak banyak terdapat di hutan berkenaan.

Kota Gelanggi merupakan salah satu tempat yang banyak mengisahkan tentang Sang Kelembai ini suatu ketika dulu dan turut berkait serta menjadi pengukuh cerita sejarah gua tersebut.

Kota Gelanggi ini dahulunya merupakan sebuah istana milik seorang raja yang bernama Raja Gelanggi dan baginda dikatakan mempunyai seorang anak perempuan yang cantik serta baik dan telah ditunangkan dengan seorang raja di Rembau yang bernama Raja Usul.

Kecantikan Puteri Raja Gelanggi telah diketahui oleh seorang raja dari kayangan yang bernama Raja Mambang dan ingin memperisterikan puteri raja tersebut. Oleh kerana takut, Raja Gelanggi terpaksa menerima pinangan itu dan mengahwinkan puterinya dengan Raja Mambang.

Tiba hari perkahwinan, Raja Usul telah sampai di Kota Gelanggi dengan tujuannya untuk menghantar hadiah kepada tunangnya namun alangkah terkejutnya bila majlis pernikahan sedang dijalankan dan peperangan telah berlaku antara angkatan Raja Usul dan Raja Mambang," ceritanya penuh bersemangat.

Oleh kerana sama gagah dan sama sakti, tiada yang kalah atau menang maka pada ketika inilah Sang Kelembai muncul serta menegur tentang perangai dua jenis makhluk ini berperang kerana seorang perempuan.

Akibat sumpahan itu semua yang ada di situ menjadi batu, lancangnya menjadi tanah, laut menjadi padang, sungai menjadi lembah dan segalanya musnah begitu sahaja.

Maka dengan ini, ujudnya Gua Kota gelanggi yang mempunyai batu-batu yang mempunyai bentuk manusia, binatang dan berbagai-bagai akibat daripada teguran Sang Kelembai.


Dalam umno pun ada juga Sang Kelembai, tapi Sang Kelembai ini tidak mampu menyumpah orang tapi hanya mampu merosakkan parti daripada dalam. Amanah yang diberikan kepadanya dijadikan senjata untuk mengugut pemimpin yang tak mahu mengikut kemahuannya.

1 comment:

  1. T'KASIH SR di atas cerita rakyat PUSAKA nenek moyang kita yg. mitos tapi penuh pengajaran- dan dpt. juga dikaitkan dgn. politik si-LIBERAL-DAJAL dlm. UMNO/PAS zaman sekarang! Lepas tu si LIBERAL ni pantang dikritik - akan MENYUMPAH pengkritik seoleh rakyat biasa dr. BUMIPUTERA Islam/Melayu hanya perlu berjuang utk. kepentingan parti/individu semata, mcm.LEMBU-BODOH!

    Sedangkan ramai pengkritik bukan bertujuan MENYUMPAH sewenangnya mcm. Sang Kelembai. tetapi utk. bersama memperbaiki kelemahan dan kesalahan - demi perjuangan yg. paling penting, demi agama, bangsa dan negara! Dan itulah PERWIRA Islam/Melayu sebenar - bukan PEMBODEK!.

    Makcik Sambal Belacan.

    ReplyDelete

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.