Monday, June 23, 2014

Pemilihan Memalukan: Umno Jangan Ikut Perangai Buruk PKR


Proses pemilihan semula Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja pada Ahad bertukar ganas sehingga mengakibatkan dua lelaki cedera dalam pergaduhan semasa sesi pengundian.

Pengundian diadakan di Dewan Klang Jaya di Taman Desawan mendapati pergaduhan yang tercetus pada kira-kira 4.15 petang itu bermula dari dalam dewan menyebabkan penyokong calon yang berada di luar berang.

Seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa pergaduhan itu bermula apabila seorang pengundi dipercayai cuba memecahkan peti undi selepas membuang undinya sehingga menimbulkan kekecohan.



Penyokong calon yang mengetahui insiden itu merempuh pagar pusat mengundi namun dihalang Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang mengawal ketat pintu masuk utama ke dewan berkenaan.





Situasi tegang itu bertambah 'panas' apabila ada penyokong calon di luar dewan mula membaling kerusi antara satu sama lain.






Kedua-dua mangsa, yang dipercayai penyokong dan pengundi, cedera di bahagian kepala menyebabkan proses pengundian semula cabang berkenaan terpaksa dihentikan setengah jam lebih awal.

Difahamkan pengumuman penutupan pusat mengundi itu dibuat wakil JPP atas faktor keselamatan namun beliau menyatakan peti undi tidak dirosakkan dan dihantar ke ibu pejabat PKR dengan diiringi polis untuk proses pengiraan pada kira-kira 5.30 petang.

Terdahulu, beberapa penyokong melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan seorang calon yang juga penyandang Ketua Cabang Kota Raja Dr Xavier Jayakumar kerana mengarahkan sekumpulan pengundi keluar dari dewan pengundian.

K. Krishnan, 55, mendakwa Xavier yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Andalas cuba menyalahgunakan kuasanya sebagai wakil rakyat.

"Apa kuasa dia mahu panggil mereka? Dia hanya wakil rakyat, jadi mengapa mahu gaduh-gaduh. Dia panggil suruh periksa nama guna senarai dia sebab takut kalah sedangkan kita sudah periksa di pihak kita, memang nama ada," katanya.

Pemilihan PKR di Selangor dilakukan semula selepas berlaku kekecohan pada 11 Mei lepas, yang menyaksikan 11 daripada 22 cabang terpaksa menjalani proses itu sekali lagi.

Sementara itu, di NIBONG TEBAL, pemilihan semula jawatan PKR sedikit kecoh apabila penyokong calon bertanding bertikam lidah ketika proses pengundian di Dewan Serbaguna Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Seri Ampangan.

Proses pengundian yang bermula pukul 10.30 pagi itu tegang apabila penyokong penyandang Ketua Cabang Nibong Tebal Datuk Maktar Shapee dan seorang calon Datuk Mansor Othman, yang juga Anggota Parlimen Nibong Tebal, cuba meraih undi anggota PKR yang hadir untuk mengundi.

Penyokong Maktar, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, dan Mansor dilihat saling melakukan provokasi sehingga menyebabkan mereka hampir bertumbuk, bagaimanapun, urus setia pemilihan berjaya meleraikan keadaan itu.

Dalam pada itu, difahamkan pemilihan semula Cabang Nibong Tebal diboikot penyokong Maktar selepas mendakwa tidak berpuas hati dengan tarikh pemilihan semula yang diputuskan PKR pusat.

Penyandang Timbalan Ketua Cabang Nibong Tebal Mohd Kamil Abu Bakar berkata pihaknya memboikot pemilihan semula itu kerana mendakwa mereka hanya dimaklum mengenai perkara berkenaan empat hari sebelum pengundian berlangsung berbanding penyokong Mansor yang dimaklum tiga minggu lebih awal.

"Kami ada menghantar surat kepada JPP minta ia diadakan pada 28 Jun namun tidak mendapat maklum balas. Justeru, kami memutuskan untuk boikot pemilihan ini kerana kekurangan masa untuk berkempen dan bertemu penyokong berbanding pengikut Mansor yang sudah membuat persediaan awal," katanya ketika dihubungi.



Proses pengundian yang berakhir pada 5.30 petang itu menyaksikan sebanyak 412 daripada 3,758 anggota PKR cabang Nibong Tebal yang layak mengundi, hadir membuang undi.

Proses pemilihan PKR Cabang Nibong Tebal dilakukan semula selepas berlaku kekecohan pada 4 Mei lepas apabila keputusan pengundian dibatalkan gara-gara terlebih undi.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.