Monday, November 3, 2014

Hujah Peguam Anwar Bahawa Sampel Diusik Hanyalah Tuduhan Liar Tiada Bukti - Shafee


Pihak pendakwaan yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee hari ini meneruskan hujah balas dalam rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat, enam tahun lalu.

Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memulakan hujah dengan menyentuh keterangan berhubung barang-barang yang diambil dari dalam lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ketika Ketua Pembangkang itu ditahan pada 16 Julai 2008 iaitu sebatang berus gigi, sehelai tuala Good Morning dan sebotol bekas air mineral kosong

Hanya beg plastik yang mengandungi 12 bekas sampel yang diambil daripada Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang dibuka oleh pegawai penyiasat (ILO) dalam kes liwat membabitkan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bukan bekas yang mengandungi calitan daripada rektum pengadu, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Beliau berkata, Supt. (bersara) Jude Blacious Pereira mematuhi Peraturan Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) apabila semua barang kes disimpan dalam sampul berasingan sebelum dihantar ke Jabatan Kimia.

Beliau berkata lagi, semasa pemeriksaan utama, Pereira telah menjelaskan perkara itu secara terperinci dan tidak pernah cuba untuk menyembunyikan tindakannya seperti yang didakwa pihak pembela.

"Apa yang beliau lakukan sebenarnya mematuhi betul-betul apa yang dikehendaki di bawah IGSO dengan meletakkan setiap bekas dalam sampul berasingan dan menandakan sampul-sampul itu.

"Beliau tidak membuat apa-apa penandaan pada bekas itu atau membukanya kerana ia telah dimeterai oleh Dr Siew Sheue Feng dan doktor itu dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, telah menandatangani pada cap setiap satu daripada bekas itu, " kata Muhammad Shafee.

Peguam kanan itu juga memberitahu barisan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bahawa untuk menyokong tindakan pegawai penyiasat itu, pihak pendakwaan telah mengemukakan salinan IGSO yang jelas menyatakan bagaimana bahan bukti harus dikendalikan dan disimpan sebelum dihantar kepada ahli kimia.

Muhammad Shafee berkata, di peringkat Mahkamah Tinggi, pihak pembelaan berjaya meyakinkan dalam hujahnya bahawa ada kemungkinan sampel itu diusik yang membolehkan penasihat PKR itu dibebaskan.

Bagaimanapun, di Mahkamah Rayuan, pihak pendakwa berhujah bahawa apabila ahli kimia Dr Seah Lay Hong dan Nor Adora Saidon memeterai bahan bukti, semua bekas masih utuh dan tidak terusik dan mahkamah bersetuju serta meminda keputusan Mahkamah Tinggi.

Beliau menjelaskan bahawa sampel intim Mohd Saiful itu dikumpul oleh dua orang doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) iaitu Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Khairul Nizam pada 28 Jun 2008.

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.