Saturday, November 19, 2016

KENYATAAN PRESIDEN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA (PPBM) MENGENAI HIMPUNAN BERSIH 5



KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN, PRESIDEN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA (PPBM) MENGENAI HIMPUNAN BERSIH 5

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis menahan beberapa orang aktivis BERSIH, pemimpin politik pembangkang dan mahasiswa hari ini berhubung penglibatan mereka dalam penganjuran Himpunan Bersih 5 yang akan berlangsung esok, Sabtu 19 November 2016. Ini adalah satu bentuk ancaman dan gangguan terhadap penganjur dan orang ramai yang berhasrat untuk menghadiri perhimpunan tersebut esok.

Menurut Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, setiap rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengingatkan pihak berkuasa supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman.

Pengerusi SUHAKAM, YBhg Tan Sri Razali Ismail, dalam satu kenyataan senalam menegaskan bahawa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan tindakan mana-mana pihak yang menghalang rakyat daripada menghadiri sebarang perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Malah, pihak polis adalah bertanggungjawab untuk memastikan perhimpunan tersebut berlangsung secara aman dan tanpa gangguan.

Saya juga ingin mengingatkan Najib Razak bahawa Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan beliau sendiri sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Politik. Akta ini bertujuan memberikan kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun dan  bersuara selaras dengan prinsip demokrasi. Saya menggesa Najib Razak supaya tidak sekali-kali melupakan janji-janjinya itu.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyokong penuh Himpunan Bersih 5 yang akan diadakan esok. Ia adalah satu perhimpunan yang mengikut lunas undang-undang dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Saya bersama-sama pimpinan tertinggi PPBM akan menyertai perhimpunan ini dan berharap ramai yang akan hadir untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan menentang rasuah dan penyelewengan serta mewujudkan pilihanraya yang bebas, adil dan bersih di Malaysia.


TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Presiden PPBM

18 November 2016

0 comments:

Post a Comment

Sekiranya anda ingin menghantar artikel untuk di siarkan sila emelkan di pssr_43@yahoo.com. Insyaallah artikel anda akan disiarkan tanpa mengubah sebarang perkataan dan ayat.